fbpx
Pyu (kiri) dan Kamarul Baihaqi antara yang membuat persembahan pada Festival Wayang Kulit Kelantan - Waye Kito di Sunway University, Kuala Lumpur.

Dua tok dalang muda tepis stigma mitos wayang kulit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA kebanyakan remaja seusianya sibuk dengan permainan video atau mencipta kandungan digital, Kamarul Baihaqi Kamarul Baisah memilih untuk menelusuri jalan seni tradisional.

Remaja berusia 15 tahun itu kini memainkan peranan penting sebagai pewaris warisan Melayu apabila muncul sebagai tok dalang wayang kulit muda yang mampu mempersembahkan cerita tradisional dan kontemporari.

Segalanya bermula ketika dia berusia satu tahun tiga bulan apabila mula mengajuk rentak wayang kulit yang dimainkan oleh bapa dan datuknya yang juga merupakan tok dalang wayang kulit Kelantan.

Menyedari bakat anaknya, bapanya, Kamarul Baisah Hussin bertindak mengasah bakatnya sehingga Kamarul Baihaqi mampu menjadi tok dalang cilik yang membuat persembahan pertamanya pada usia empat tahun.

Pada usia tujuh tahun, anak sulung daripada empat beradik ini sudah pun membuat persembahan di Black Box Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Kuala Lumpur.

Mengimbau perjalanan seni tradisionalnya, Kamarul Baihaqi mengakui tidak berasa gugup meskipun perlu berdepan ramai penonton dewasa ketika itu.

“Sejak kecil saya sudah boleh menggerakkan patung dan mengulang suara watak kerana sering melihat atuk dan ayah saya memainkan peranan sebagai tok dalang.

“Apabila ayah dan atuk melihat bakat itu, mereka terus mengajar saya dan alhamdulillah, saya dapat membuat persembahan dengan baik sama ada penceritaan bersifat tradisional atau kontemporari,” katanya kepada K-Remaja.

Kamarul Baihaqi ditemui selepas membuat persembahan di Festival Wayang Kulit Kelantan – Waye Kito di Sunway University, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Untuk pengetahuan, wayang kulit Kelantan adalah salah satu seni persembahan tradisional yang kaya dengan warisan budaya dan nilai estetika.

Berasal dari negeri Kelantan, persembahan ini menggunakan patung-patung diperbuat daripada kulit lembu diukir halus dan dicat berwarna-warni.

Tok dalang, individu utama dalam persembahan, memainkan peranan penting bukan saja menggerakkan patung di belakang kelir (sehelai kain putih yang menjadi layar), tetapi juga menghidupkan watak melalui suara, dialog dan naratif yang bersahaja.

Persembahan pula diiringi muzik tradisional seperti serunai, gong dan geduk.

Sebagai salah satu khazanah seni yang kian terpinggir, wayang kulit Kelantan telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya tidak ketara yang perlu dipelihara.

Ia melambangkan identiti masyarakat Melayu Kelantan serta memperlihatkan kreativiti dan falsafah hidup nenek moyang terdahulu.

Mengulas mengenai pencapaian terbesarnya, Kamarul Baihaqi memilih momen melakukan persembahan di China ketika berada dalam lingkungan usia tujuh dan lapan tahun.

Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan yang dibesarkan di Kuala Lumpur itu juga pernah membuat persembahan muzik wayang kulit dalam Bakshi World Festival di Uzbekistan serta dinobatkan anugerah pemuzik termuda.

Menurut Kamarul Baihaqi, perkara paling sukar adalah mengendalikan patung tanpa menampakkan bayang tangan di kelir.

Kongsinya, cabaran terbesar sebagai tok dalang adalah mengendalikan patung secara natural sehingga penonton mampu menghayati cerita tanpa dipengaruhi oleh kehadiran pencerita di belakang kelir.

“Bagi saya, perkara paling sukar adalah mengendalikan patung tanpa menampakkan bayang tangan di kelir. Sekiranya tangan kelihatan, persembahan itu akan kelihatan tidak natural.

“Ini sebahagian daripada ketelitian dan profesionalisme dalam mempersembahkan seni warisan ini. Tok dalang harus tahu teknik yang betul,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi tok dalang muda, Aqfierudzar Rizq atau lebih dikenali sebagai Tok Dalang Pyu turut menggalas peranan sebagai pewaris warisan wayang kulit Kelantan.

Namun, remaja berusia 11 tahun ini memilih pendekatan berbeza apabila membuat persembahan kontemporari yang bersifat komersial berbanding persembahan tradisional.

Hal ini kerana bapanya, Mohd. Sulhie Yusuf mendapati persembahan kontemporari mampu menarik minat rakan seusia Pyu sekali gus menyebarkan lagi warisan ini dalam kalangan generasi baharu.

Kisah-kisah dibawa dalam persembahan wayang kulitnya diubah suai mengikut lokasi, tema dan permintaan pelanggan.

Menurut Pyu yang mula bermain wayang kulit pada usia lima tahun, cabaran terbesarnya adalah mengingati skrip sambil menukar watak dengan cepat.

“Kadang-kadang sewaktu buat persembahan, saya terlupa skrip, jadi saya perlu jadi kreatif dan bercakap spontan. Lagi mencabar apabila perlu tukar-tukar watak dengan pantas sambil memegang patung. Tapi saya tak pernah rasa gugup sepanjang melakukannya,” katanya.

Antara pencapaian paling membanggakan bagi Pyu adalah membuat persembahan di depan mantan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Majlis Penutupan Ulang Tahun Ke-40 Universiti

Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sempena Malam Amal Palestin pada 2023.

Selain itu, pelajar darjah lima ini juga pernah membuat persembahan di depan mantan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor, Sultan

Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Majlis Pelancaran Buku Weathering Economic Storm, A Journey Through The Uncharted Waters of COVID-19 pada 2022.

Selain itu, anak bongsu kepada tiga beradik ini turut pernah membuat persembahan wayang kulit di Thailand, China, Indonesia dan Singapura.

Bercita-cita untuk menjadi seorang guru , Pyu menganggap penglibatannya dalam seni wayang kulit Kelantan tidak mengganggu pelajaran akademiknya. Ini kerana dia hanya berlatih bermain muzik dua hingga tiga kali seminggu, sementara berlatih menjadi tok dalang apabila terdapat tempahan persembahan.

Antara alat muzik yang dipelajarinya adalah canang, geduk, gedombak, kesi dan gendang.

Kongsi Pyu, usahanya dalam menyesuaikan persembahan wayang kulit Kelantan dengan minat rakan seusianya penting agar stigma mengenai seni warisan ini dapat ditepis.

“Seperti yang dikatakan oleh ayah saya, ramai orang, terutama generasi lebih tua, mengaitkan wayang kulit dengan unsur-unsur mitos sehingga tidak mahu anak-anak mereka mengamalkannya.

“Saya berharap dengan pendekatan saya ini, lebih ramai generasi muda akan cuba menerokai seni ini dan menimba pengetahuan mengenainya.

“Biarpun mereka tidak menjadi sebahagian pengamal wayang kulit Kelantan, sekurangnya mereka mengetahui kewujudan dan menjadi sebahagian daripada penontonnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN