fbpx
SUPERYADI mengharung air banjir termenung paras pinggang di hadapan rumahnya di Kampung Seri Gambut, Pekan Nanas di Pontian.

‘Raya minggu depan, tiada satu pun persiapan dibuat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Meskipun keada­an bah di lokasi lain sudah beransur pulih, nasib berbeza menimpa mangsa banjir di Lorong Kempas, Kampung Sri Gambut, di sini, apabila bukan sahaja berdepan masalah banjir termenung, malah terpaksa menyambut Aidilfitri yang berbaki kira-kira empat hari lagi dalam keadaan suram.

Seorang mangsa banjir, Superyadi Zainal, 49, berkata, tiada persiapan yang dibuat kerana banjir yang melanda minggu lalu paling buruk menyebabkan kelengkapan rumah musnah.

“Saya sudah tidak memikirkan untuk membuat persiapan le­baran kerana rata-rata kami di sini masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS). Jika dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri pun kami sudah bersyukur.

“Tiada apa yang dapat dise­lamatkan kerana banjir yang berlaku ketika itu melepasi paras kepala, mujur kami sempat ke PPS. Kami sekali lagi diuji dengan situasi banjir temenung separas pinggang yang tidak surut sehingga kini,” katanya di sini kelmarin.

Katanya, terdapat tujuh rumah di lorong tersebut masih dilanda banjir termenung dan semua mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya, di sini.

“Mungkin tiga empat hari lagi, belum pasti kami boleh pulang ke rumah, raya pada minggu depan, tiada satu pun persiapan dibuat,” katanya yang tinggal bersama enam ahli keluarga yang lain di PPS berkenaan.

MOHD. ZAKI melihat antara barangan yang sempat diselamatkan di Kampung Sri Paya, Tampoi, Johor Bahru semalam.

Di Johor Bahru, lebih 30 keluarga yang tinggal di Kampung Sri Jaya, Tampoi, di sini, turut terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan suram.

Ini kerana kediaman mereka antara ribuan rumah yang ditenggelami banjir paras pinggang sehingga kebanyakan barangan elektrik, perabot, dan persiapan raya musnah sepenuhnya.

Seorang penduduk, Mohd. Zaki Ahmad Yashid, 39, berkata, kejadian itu menyebabkan dia dan ibunya tidak dapat me­nyambut raya seperti biasa ke­rana keadaan rumah yang masih belum dikemas sepenuhnya.

“Semua perabot dan barang elektrik rosak, kuih serta baju raya pun habis musnah. Sejak puluhan tahun kami tinggal di sini, tidak pernah banjir sebesar ini, kami memang tidak sempat buat sebarang persiapan,” katanya.

Azni Abdullah, 55, turut mengalami nasib sama apabila 80 peratus barangan di rumahnya musnah akibat banjir.

“Kami masih sibuk mengemas, kuih raya semua hanyut, jadi sambutan tahun ini sekadar anak-beranak sahaja,” katanya.

Selain itu, penduduk juga terpaksa menyewa tiga tong roro untuk membuang sisa banjir dengan kos RM400 setiap satu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN