fbpx
Sebahagian daripada 65 anak muda dari Kelantan yang menunaikan umrah di Mekah baru-baru ini.

Umrah percuma anak muda Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN 65 anak muda berasal dari Kelantan ke Tanah Suci Mekah dan Madinah, Arab Saudi selama 12 hari 10 malam baru-baru ini sangat istimewa serta menjadi kenangan paling indah dalam hidup mereka.

Manakan tidak, apabila mereka menjadi kumpulan anak muda pertama terpilih mengerjakan umrah dengan pakej ditaja sepenuhnya oleh syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia).

Setiap daripada mereka dipilih menunaikan ibadah itu setelah lulus solat berjemaah di Masjid Imanul Faizin di Melor, Kelantan selama 30 hari atau 90 waktu bagi solat maghrib, isyak dan subuh tanpa gagal mulai November tahun lalu.

Masjid Imanul Faizin merupakan masjid yang diasaskan oleh Pengarah Urusan Andalusia, Ibrahim Mat Sin.

Salah seorang peserta program Umrah Percuma Anak Muda Jati Kelantan, Nik Amir Khairi Kamarubalkiah, 29, berkata, dia bagaikan tidak percaya apabila mendapat tahu terpilih menunaikan umrah percuma bersama 64 lagi rakan yang terdiri daripada 36 lelaki dan 29 perempuan berusia antara 20 hingga 35 tahun.

“Saya sememangnya mengimpikan untuk datang ke Mekah buat umrah tetapi tidak sangka menerima jemputan Allah SWT secepat ini.

“Biasanya, saya tengok orang pakai pakaian ihram di televisyen sahaja.

“Alhamdulillah kali ini Allah beri rezeki kepada saya pakai ihram untuk tunaikan umrah buat kali pertama,” katanya ketika ditemui K-Remaja di Mekah baru-baru ini.

Katanya, dia sudah berpakaian ihram di dalam kapal terbang dan berniat ihram di Miqat atau sempadan di Qarnul Manazil iaitu kira-kira sejam sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah dan terus ke Mekah untuk menunaikan umrah.

“Selepas niat ihram, seluruh jemaah melaungkan talbiah dan perasaan saya ketika itu sayu dan sukar digambarkan.

“Bila sampai di Mekah pula, saya dan rakan-rakan berjalan dari hotel penginapan menuju ke Masjidil Haram,” katanya.

MD. DAUD (sembilan dari kanan) serta Ibrahim (tengah) bergambar bersama kumpulan anak muda Kelantan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Mekah.

“Paling menakjubkan apabila saya dapat tengok Kaabah di hadapan mata seterusnya melakukan tawaf, hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan selesai menunaikan umrah kami pada hari pertama itu dengan bantuan mutawif Andalusia. Rezeki kami kali ini menunaikan umrah pada musim sejuk,” ujar Nik Amir Khairi yang juga merupakan seorang arkitek.

Jelasnya, dia bersyukur kerana ukhuwah yang terjalin dengan rakan-rakan sangat kuat dan kekal sehingga kini.

“Perkenalan kami adalah sejak menyertai program solat berjemaah di Masjid Imanul Faizin sebelum sama-sama menunaikan umrah.

“Kenangan itu termasuk ketika melakukan ziarah ke tempat-tempat bersejarah di Mekah dan Madinah, mempelajari sejarah Islam, Rasulullah SAW serta nabi-nabi akan terus segar dalam ingatan saya,” katanya.

Seorang lagi peserta, Nur Ain Syuhada Kamaruzali, 26, berkata, dia terpaku apabila melihat Kaabah di depan mata sebelum terus mengalirkan air mata.

“Allah Maha Baik, Maha Besar, saya bersyukur kerana diberi peluang tunaikan umrah bersama rakan-rakan lain yang mana pakej umrah dan ziarah kami ditaja sepenuhnya oleh Andalusia.

“Saya macam tidak percaya dapat buat umrah, namun saya percaya ini semua ketentuan dan kekuasaan Allah SWT.

“Hati saya sayu apabila mengenangkan ini semua, saya ambil kesempatan ini menunaikan umrah dan beribadah dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Ujarnya, semasa berada di Tanah Suci itu, dia juga mendoakan agar ahli keluarga dan rakan-rakannya yang lain termasuk Ain Zulfa dijemput Allah menunaikan umrah selepas ini.

“Seorang rakan saya, Ain Zulfa sebenarnya merupakan ‘mastermind’ untuk saya dan seorang lagi rakan, Wan Noraisyah Ramizah Razali turut menyertai program berjemaah itu tetapi Ain Zulfa tidak dapat menyertainya atas sebab tertentu,” katanya.

Sementara itu, Mutawif Andalusia, Muhamad Zaki Ridzuan atau dikenali sebagai Pak Tam berkata, kumpulan anak muda jati Kelantan itu sangat bersemangat menunaikan ibadah umrah dan ziarah sepanjang berada di bumi Haramain.

“Pengalaman membawa anak-anak muda menunaikan umrah dan ziarah kali ini sangat luar biasa kerana mereka bukan belia yang ‘kosong’ tetapi sangat bersemangat dan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah.

“Saya buka ruang kepada mereka untuk membaca doa ketika melakukan tawaf dan saie kerana ada dalam kalangan mereka berlatarbelakangkan agama kerana pernah belajar di Mesir selain di pondok agama dan madrasah,” katanya.

Pak Tam berharap agar semua anak muda itu terus mengekalkan semangat luar biasa dalam beribadah dan mengimarahkan masjid dengan solat berjemaah.

“Apa yang penting semua anak muda ini bila balik nanti akan menjadi pendakwah dan tarik lebih ramai belia untuk solat berjemaah di masjid,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, pihaknya berbesar hati untuk menaja umrah percuma kepada seramai 200 anak muda yang berjaya menyempurnakan solat berjemaah di Masjid Imanul Faizin.

“Kita akan menyambung pencarian lebih ramai anak muda sehingga lengkap 200 orang bagi mengikuti program ini,” katanya.

Dia memberitahu objektif program berkenaan adalah menarik lebih ramai orang muda untuk mengimarahkan masjid, sekali gus dapat membentuk mereka mendalami asas kerohanian serta ilmu fardu ain sebelum ke Tanah Suci.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN