BENTONG – Masalah pembuangan sampah yang berlaku di laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) di Lipis kini ‘berjangkit’ pula ke laluan LTU berhampiran Bulatan Mempaga di laluan Bentong Bypass di sini.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, terdapat banyak sampah sarap khususnya plastik, botol dan bekas makanan yang dibuang di tepi jalan berkenaan.
Lebih menjijikkan apabila terdapat air kencing di dalam botol air minuman dibuang merata-rata selain najis manusia.
Seorang penduduk Bentong, Khazeri Hashim, 52, berkata, dia yang sering berulang-alik di kawasan itu berasa terkejut dan tidak selesa dengan keadaan sampah yang memenuhi kawasan itu.
Katanya, tidak salah untuk pengguna jalan raya berhenti rehat di situ, tetapi mereka tidak sepatutnya membuang sampah merata-rata.
“Saya rasa mereka mungkin dalam perjalanan yang jauh tetapi saya tidak faham apakah mentaliti mereka yang suka membuang sampah begini sehingga mengotorkan pemandangan.
“Saya kecewa kerana mereka yang mungkin pulang ke kampung bercuti dengan gembira, tetapi meninggalkan sampah kepada penduduk di sini,” katanya.
Susulan itu, dia berharap pihak berkaitan dapat mengutip sampah yang ada kerana menjejaskan pemandangan.
Seorang penduduk setempat, Azrul Rizuan Abdul Rahman, 39, berkata, sepatutnya papan tanda larangan membuang sampah serta tong sampah disediakan di kawasan itu.
Selain itu, katanya, kamera litar tertutup (CCTV) juga wajar diletakkan di situ bagi merakam dan memastikan tiada yang membuang sampah merata-rata.
Kosmo! sebelum ini melaporkan sejumlah 360 kilogram sampah sarap telah dikutip Alam Flora Sdn. Bhd. sepanjang cuti musim perayaan Aidilfitri di laluan LTU dari Kampung Kechau Tui hingga Merapoh.














