Penulis bukanlah seorang doktor, bukan juga seorang petugas kesihatan atau ahli farmasi. Penulis sama seperti orang lain yang tiada kepakaran dalam bidang perubatan.
Namun, ramai daripada kita yang ingin tahu cara penjagaan kesihatan serta merawati penyakit terutama mereka yang ada masalah seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
Selama ini, doktor bertauliah di klinik dan hospital yang menjadi tempat rujukan utama kita dalam merawat dan mendapat nasihat tentang kesihatan.
Tetapi sekarang mudah untuk mendapat maklumat kesihatan pada bila-bila masa, dengan hanya melayari TikTok, ramai doktor berkongsi kepakaran masing-masing.
Selain doktor yang banyak membuka akaun di TikTok, ahli farmasi pun turut sama aktif menyampaikan ilmu sambil menjual produk mereka.
Tidak dinafikan, kebanyakan mereka memberikan tips-tips berguna tentang penjagaan kesihatan, amalan pemakanan seimbang dan kaedah mengubati penyakit.
Namun, yang memeningkan kepala kita apabila ada kaedah yang diajar itu berbeza-beza mengikut ‘mazhab’ dan pegangan masing-masing.
Misalnya tentang pengambilan ubat kolesterol. Ada doktor tidak menyarankan pengambilan ubat itu jika tiada kencing manis kronik, darah tinggi atau tidak pernah terkena serangan jantung.
Mereka yang mempunyai total kolesterol tinggi dinasihatkan supaya menjaga pemakanan, tidur dengan cukup, menjalani gaya hidup sihat, kurangkan stres dan mengambil suplemen sesuai.
Bagaimanapun, ada pula doktor yang meminta mereka yang mempunyai kolesterol tinggi supaya segera makan ubat walaupun tiada penyakit kronik lain.
Kata mereka, jika total kolesterol tinggi, saluran darah mudah tersumbat dan jantung akan bermasalah, sebagai pencegahan awal, ubat adalah jalan penyelesaian terbaik.
Ini antara salah satu contoh yang membuatkan ramai pening kepala sama ada perlu mengambil ubat kolestrol seumur hidup atau tidak. Itu belum lagi penyakit lain.
Ada juga yang melarang pengambilan ubat tertentu kerana dibimbangi akan merosakkan buah pinggang dan menjadikan tubuh badan layu, sedangkan ubat itu diberikan untuk tujuan tertentu.
Bagi mengelakkan kita daripada terus pening, tempat rujukan dan individu yang betul adalah penting. Ia ibarat jika kereta kita rosak, ia perlu dibaiki di bengkel-bengkel bertauliah.
Begitu juga sekiranya bumbung rumah bocor, kita akan panggil tukang rumah.
Seorang doktor tidak akan boleh membaiki kereta biarpun ia boleh dipelajari di YouTube, begitu juga seorang mekanik tidak akan boleh menjadi seorang doktor.
Mengubati, merawat dan mencegah penyakit perlu dilakukan dengan kaedah betul melalui bantuan doktor perubatan yang bertauliah, berpengalaman dan bertanggungjawab. Ini kerana tersilap langkah boleh membawa maut.
















