PETALING JAYA – “Pertemuan kita, insya-Allah akan berada di pekarangan Masjid Al-Aqsa,” demikian surat ditulis pejuang mujahidin Palestin serta ditinggalkan pada rumah penduduk Gaza.
Surat menyentuh hati itu ditulis pejuang tersebut sebagai kemaafan mereka menggunakan harta benda penduduk bagi mempertahankan tanah air daripada pencerobohan dan kekejaman Zionis Israel.
Terjemahan bahasa Melayu surat berkenaan dikongsikan pada Instagram Cinta Gaza Malaysia yang diambil daripada sumber The Palestine Chronicles.
“Orang-orang kami dan orang-orang tersayang, semoga Allah menerima usaha, kesabaran, pengorbanan, darah anda. Semoga Dia membalas anda dengan kebaikan untuk semua yang anda telah hilang.
“Demi Tuhan, kamu telah menderita, dicederakan, dihalau dan ditindas demi agamamu dan tanah airmu. Maafkan kami dan terima permohonan maaf kami. Kami telah menggunakan harta benda kamu, memasuki rumah kamu, makan makanan kamu, minum minuman kamu dan memakai pakaian kamu.
“Ampuni kami untuk setiap tangisan kanak-kanak, setiap kesakitan, setiap ketidakadilan dan setiap air mata kesedihan. Demi Allah, kami telah berjuang sebaik mungkin dan memberikan apa yang mampu ditawarkan oleh sesiapa sahaja,” menurut surat tersebut.
Pejuang Palestin itu memberi jaminan bahawa mereka tidak akan sesekali mengkhianati atau meninggalkan tanah air mereka Palestin.
“Kami tidak menyerah, kami tidak lalai, kami tidak mengkhianati dan kami tidak meninggalkan kubu kami,” kata pejuang itu.
Mengakhiri surat tersebut, pejuang-pejuang berkenaan turut mendoakan agar dapat bertemu dengan semua di pekarangan Masjid Al-Aqsa.
“Semoga setiap tahun membawa anda lebih dekat dengan kemuliaan dan maruah anda. Semoga Allah menerima keteguhanmu, pertahananmu dan kesabaranmu.
“Pertemuan kita, insya-Allah akan berada di pekarangan Masjid Al-Aqsa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE