Masih terdapat restoran yang menggunakan simbol atau istilah halal yang mengelirukan bagi menarik pelanggan terutama umat Islam.
Baru-baru ini, penulis bersama rakan media lain menyertai serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kajang bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah restoran di Seri Kembangan yang mempamerkan pelekat ‘Muslim Kitchen’ di pintu dan dinding premis.
Pemilik mendakwa tindakan menampal pelekat itu selepas diminta pelanggan dan rakan yang sering menikmati hidangannya biarpun belum mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Lagi meresahkan, pihak berkuasa menemukan dua jenis menu berlainan yang mana salah satunya mempunyai hidangan khinzir, namun pemilik premis menegaskan ia hanya salah faham.
Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed berkata, secara asasnya dibolehkan bagi seorang Muslim untuk memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh non-muslim (bukan ahli kitab) seperti Hindu, Sikh, Budha dan selainnya selagi mana makanan itu adalah halal dan bukannya daripada hasil sembelihan mereka. (tafsir al-Imam al-Qurtubi Rahimahullah).
Walaupun begitu, ini tidaklah menafikan keafdhalan bersikap warak dalam mengambil suatu makan dan lebih afdhal makanan itu diperolehi daripada orang yang bertaqwa dan disediakan juga dengan taqwa.
“Dalam sebuah hadis diriwayatkan Abu Daud (4832), Rasulullah SAW pernah bersabda memberi peringatan kepada umatnya dengan sabdanya, janganlah kamu berkawan melainkan orang yang beriman dan jangan biarkan makananmu dimakan melainkan orang bertaqwa.
“Dalam uruf dan adat kita di Malaysia juga begitu kebiasaan kita akan mencari kedai, warung atau restoran milik umat Islam kerana asas ‘warak’ itu sendiri kerana makanan itu akan menjadi darah daging kita. Ia juga bertujuan untuk mengelak bercampur dengan unsur atau bahan yang ditegah oleh syarak buat umat Islam,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Katanya, sebagai orang Islam, hendaklah memilih yang halal serta premis makan yang bersih bagi mengelakkan perkara syubhah.
“Jika restoran atau warung milik orang Islam tetapi kotor, wajar juga untuk dijauhi kerana ia mendekat kepada hukum syubhah dalam penyediaan makanan berbanding restoran yang menjaga kualiti dan kebersihan.
“Ketegasan pihak berkuasa dalam membendung pihak-pihak yang cuba menyalahgunakan istilah tertentu dalam menarik pelanggan Islam mesti dipuji kerana zaman sekarang terlalu ramai scam termasuk restoran,” ujarnya.
Katanya, orang Islam perlu sedar kefahaman terhadap tuntutan agama yang memerlukan kita memilih makanan yang halal dan baik.
“Nabi pernah sebut, halal itu jelas dan haram itu jelas, serta diantaranya ada yang syubhah, dan Baginda jelaskan bahawa perkara syubhah itu boleh membawa kepada haram.
“Kesedaran itu sangat penting agar kita jangan pantang jumpa atau pantang viral terus sahaja serbu (restoran atau premis makanan),” katanya.














