IPOH – Polis menahan tujuh lelaki yang memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol dalam Operasi Bersepadu Ambang Tahun Baharu 2025 Kontinjen Perak di seluruh negeri awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, kesemua individu berusia antara 25 hingga 51 tahun itu ditahan dalam operasi di Ipoh, Taiping dan Manjung.
Katanya, hasil ujian pernafasan awal mendapati kepekatan alkohol dalam tubuh kesemua lelaki yang ditahan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 itu melebihi had ditetapkan.
“Seramai 1,687 pengguna jalan raya diperiksa dalam pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, seramai tujuh lelaki dikesan memandu dalam keadaan mabuk.
“Kita turut menahan lima lelaki Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai operasi tersebut di sini hari ini.
Menurut Zulkafli, dalam operasi tersebut, sebanyak 1,625 kenderaan diperiksa dengan 840 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selain tindakan sitaan dijalankan terhadap 22 buah motosikal, dua buah kereta dan sebuah lori.
Katanya, kesalahan membabitkan tiada lesen memandu merekodkan jumlah kesalahan tertinggi dengan 117 saman diikuti nombor pendaftaran kenderaan (100), tiada insurans atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh (86), halangan lalu lintas (83) dan ekzos serta ubah suai kenderaan (60). – KOSMO! ONLINE














