fbpx
IZATI sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang komunikasi.

Izati pupuk minat jadi penyampai berita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bagi sesetengah orang, menonton berita di televisyen mungkin sekadar rutin harian biasa. Namun, bagi Norizati Khairuddin, 21, rutin itu telah menjadi titik permulaan kepada sebuah impian.

Sejak usia remaja, setiap siaran berita yang ditontonnya bukan sahaja membuka jendela maklumat, malah menanam minat yang mendalam terhadap dunia penyiaran sehingga dia bertekad untuk bergelar penyampai berita pada suatu hari nanti.

Membuka bicara, dia yang mesra disapa Izati itu berkata, pendedahan awal terhadap dunia penyiaran bermula kerana sering menonton siaran berita bersama keluarga pada waktu malam.

Pengalaman itu secara tidak langsung mencetuskan rasa kagum terhadap profesion tersebut, sekali gus menyemai impian untuk berada di hadapan kamera.

“Sejak kecil, saya sudah terbiasa menonton berita.

“Cara penyampai menyampaikan maklumat dengan yakin dan tersusun membuatkan saya tertarik untuk menceburi bidang ini,” katanya.

Tambah Izati, personaliti penyampai berita yang profesional dan berwibawa menjadi inspirasi utama untuk dia terus berusaha memperbaiki diri, khususnya dari segi komunikasi dan keyakinan.

Dalam usaha merealisasikan impian tersebut, Izati kini melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kewartawanan) di sebuah universiti tempatan.

Baginya, pendidikan formal merupakan platform penting untuk membina asas pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan dalam dunia penyiaran.

IZATI sewaktu ditemu bual dalam satu rancangan televisyen.

“Pengajian ini membantu saya memahami selok-belok kewartawanan, termasuk cara penyampaian berita yang berkesan dan beretika,” ujarnya.

Izati mengakui, perjalanan akademiknya merupakan langkah awal yang signifikan dalam mempersiapkan diri untuk memasuki industri media.

Selain mempelajari teori di bilik kuliah, dia turut memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran praktikal seperti pengucapan awam, penulisan berita dan pengendalian kamera.

Di sebalik minatnya terhadap dunia kewartawanan, Izati turut aktif menceburi bidang peragaan secara sambilan bersama beberapa butik kecil bagi mengisi masa lapang.

Pengalaman tersebut bukan sahaja memberinya keyakinan untuk tampil di hadapan khalayak, malah membantu membentuk personaliti yang lebih profesional.

Malah, dia pernah dinobatkan sebagai juara pertandingan Sobella Makeup Battle anjuran jenama kosmetik tempatan, Sobella pada 2024.

Bagi Izati, kecantikan diri, keyakinan dan profesionalisme merupakan elemen penting yang perlu dimiliki oleh seseorang yang bercita-cita menjadi penyampai berita kerana ketiga-tiganya saling melengkapi dalam membentuk imej positif di hadapan penonton.

Dengan kesungguhan dan usaha berterusan, Izati optimis impiannya untuk bergelar penyampai berita suatu hari nanti bukan sekadar angan-angan, sebaliknya satu matlamat yang mampu direalisasikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN