KOTA KINABALU – Seorang lelaki warga asing maut ditikam secara bertubi-tubi ketika bertengkar dengan rakannya dalam keadaan mabuk di sebuah tapak pembinaan di belakang bilik pameran kenderaan di Iramanis di sini awal pagi kelmarin.
Mangsa berusia 34 tahun itu dipercayai sempat berjalan sebelum ditemukan meninggal dunia di dalam lubang pembetung berhampiran lokasi kejadian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 1.40 pagi sebelum membuat laporan polis pada pukul 2.23 pagi.
”Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek lelaki berusia 36 tahun keluar ke Penampang pada pagi kejadian untuk minum minuman keras sebelum mereka pulang ke rumah kongsi pada pukul 11 malam.
“Siasatan lanjut mendapati berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek dipercayai berpunca akibat salah faham ketika mereka berdua dalam keadaan mabuk.
“Mangsa dipercayai terlebih dahulu memukul suspek menggunakan kayu di bahagian kepala. Suspek kemudian bertindak balas menikam mangsa sebanyak empat kali dengan menggunakan pisau pemotong sayur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syed Lot berkata, selepas kejadian suspek melarikan diri, manakala mangsa yang parah dipercayai sempat berjalan sebelum ditemukan di dalam lubang pembetung berhampiran lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE














