fbpx
IKAN kerandang bonus yang membuktikan bahawa sungai ini masih banyak menyimpan rahsia di dasarnya.

Menghulu Sungai Sedili

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANJANG jalan tersebut pasti melintasi banyak sungai-sungai kecil, namun saya tidak pernah berkesempatan meneroka khazanahnya. 

Sebelum ini saya bersama rakan pernah menerjah sebatang sungai di sini untuk memancing dari tebingnya dan hasilnya boleh tahan juga.

Baru-baru ini kami mencuba pula salah satu sungai yang boleh diakses menggunakan bot gentian kaca. Kami turun dengan menggunakan bot saiz 13 kaki dan dipacu sebuah enjin sangkut lapan kuasa kuda.

Kami mudik ke hulu sungai untuk mengintai potensi apa yang tersirat di sana. Sungai ini tidak lebar hanya sekitar 20 meter (m). 

Sepanjang perjalanan banyak kawasan yang sempit dan ada tempat terdapat pokok-pokok tumbang menyebabkan perjalanan menggunakan bot tidak begitu lancar. 

Perjalanan mengambil masa sekitar dua jam untuk tiba ke kawasan hulu yang langsung tidak lagi boleh dilalui kerana tertutup dengan rimbunan pokok tumbang. 

Parang yang kami bawa tidak berkemampuan mencantas bersih kawasan itu bagi membuat laluan yang bot boleh lepasi.

Peralatan memancing

Walaupun memancing dari tengah sungai, saya masih menggunakan peralatan seperti apa yang digunakan secara menebing kerana sungai yang sempit ini kanopinya merimbun dan memerlukan joran pendek bagi memudahkan lontaran gewang dilakukan.

Kebanyakan gewang yang kami gunakan bersifat tenggelam dan mampu dikarau laju seperti Rapala Countdown CD5 dan Senses Savior 52SD. 

TANGKAPAN berganda sering terjadi kerana ikan sebarau di sungai ini berkumpulan.

Namun, kesemua mata kail asal gewang ini perlu ditukar kepada mata kail jenis tunggal (single hook) bagi mengurangkan risiko gewang tersangkut di dasar sungai yang dipenuhi reba pokok-pokok tumbang. 

Walaupun kami bersedia dengan alat penyelamat gewang (lure retriever), sebenarnya ia leceh digunakan apabila melibatkan kawasan sungai yang berarus deras.

Menghendap senyap

Setibanya kami di hulu sungai, kami menunggu beberapa ketika sambil menjamu bekal mengalas perut. Keadaan sungai yang sempit memerlukan suasana tenang supaya ikan tidak menjadi culas. 

Jadi, kami menghilir semula dengan bantuan enjin berkuasa bateri (thruster) yang lebih senyap. Penggunaan thruster ini sangat membantu ketika mengawal pergerakan dan kelajuan bot yang berhanyut mengikut arus sungai.

Dalam kesunyian, kami dijamu dengan irama alam yang mengasyikkan. 

Kedengaran burung berkicauan, tupai dan kera berkeliaran bergayutan, bunyi serangga yang mendamaikan. 

Namun begitu mata kami tetap berwaspada dengan bahaya seperti risiko pokok tumbang dan haiwan berbisa 

dan berbahaya.

Di satu selekoh sungai, terdapat kawasan bereba yang berair tenang, gewang yang dilontarkan Faiz tiba-tiba disambar sesuatu dari bawah reba. 

Perlawanan yang berlainan berban­ding ikan sebarau yang kebiasaannya menyergap dari reba menimbulkan tanda tanya sehinggalah sosok hitam panjang memunculkan diri. 

Disangkakan ikan bujuk rupanya seekor ikan kerandang atau toman bunga (Channa maruliodes) yang terdampar menyerah tidak berdaya dengan asakan diberikan Faiz.

Gembira tidak terkata kerana di sebalik sungai ini juga mempunyai khazanah yang hampir sukar dijumpai di mana-mana sungai di Johor dewasa kini. 

SAIZ ikan sebarau yang banyak meligan gewang tidak begitu besar, namun memberi kegembiraan sepanjang trip ini.

Setelah bergambar, ikan itu kami lepaskan semula ke habitatnya dan berharap dapat terus berlangsung hidup, mungkin kunjungan seterusnya kami akan fokus menyasarkan spesies ini pula kerana sudah terbukti ia wujud di kawasan ini.

Sebarau curut

Sepanjang kami menghilir, begitu ramah ikan sebarau di sini seakan-akan jarang berjumpa manusia sehingga begitu banyak sambaran kami terima, namun kebanyakannya bersaiz kecil dan digelar ‘curut’ (kecil).

Ia suka meligan gewang dan seperti tidak sensitif terhadap kehadiran kami sehingga beberapa kali kejadian ikan menghentam gewang sampai rapat di tepi bot berlaku. 

Keadaan ini menunjukkan populasi ikan di sini masih banyak dan mempunyai ekosistem yang baik. 

Saiz sebarau yang kecil kami lepaskan semula dan hanya mengambil beberapa ekor yang sesuai dijadikan hidangan (selected harvest). 

Kami langsung tidak memperoleh ikan sebarau bersaiz ‘badong’ pada trip kali ini.

Ini berkemungkinan faktor air yang surut menyebabkan ikan sebarau bersaiz besar turun ke kawasan sungai yang lebih dalam mengikut aliran air atau menjadi culas dengan bayang-bayang kami berhanyut di permukaan air. 

Apa-apapun, saya pasti akan kembali lagi membuat tinjauan pada masa akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN