fbpx
ABDULLAH merawat pesakit yang terkena sihir menggunakan kaedah Ruqyah Syariyyah yang bersih daripada unsur syirik serta khurafat.

Korban arnab, ayam untuk panggil jin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Tatkala kepercayaan masyarakat kepada ilmu hitam tradisional semakin berkura­ngan, timbul pula amalan yang seakan sama tetapi berselindung di sebalik nama Islam.

Menurut pengamal Ruqyah Syariyyah, Abdullah Idris, pengamal ilmu hitam yang bertopengkan imej Islamik melakukan tindakan yang mengaburi pandangan masyarakat seperti solat hajat atau amalan sedekah.

“Bomoh menyatakan dia mendapat petanda selepas melakukan solat hajat, soalnya siapa yang memberikan petanda itu?

“Yakinkah dia itu petunjuk daripada Allah? Inilah yang dikatakan perbuatan ini sebenarnya termasuk dalam menilik atau meramal,” katanya kepada ­Kosmo! dengan merujuk kepada beberapa kes yang berakhir de­ngan kehilangan nyawa.

Selain itu, katanya, antara amalan lain ialah memindahkan penyakit atau sihir kepada haiwan seperti arnab atau ayam yang kemudian disembelih atas alasan untuk disedekahkan.

“Daripada pembacaan dan kajian saya, ada cara yang digunakan oleh tukang sihir untuk memanggil jin melalui penyembelihan binatang.

“Inilah yang dikhuatiri kerana kaedah memindahkan penyakit atau sihir kepada binatang dan kemudian disembelih tidak ada ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat yang masih kurang pengetahuan tentang asas-asas Islam, sangat mudah terpengaruh walaupun tidak lagi mendekati kepercayaan ilmu hitam tradisional turun-temurun.

Katanya, pengamal ilmu ini menjadikan amalan menilik sebagai kaedah merawat yang mana ada hadis yang jelas melarang perbuatan tersebut.

Abdullah berkata, tilikan atau telahan oleh bomoh atau seseorang perawat itu boleh jadi pembohongan atau sekadar berdasarkan kepercayaan seseorang pengamal tersebut terhadap bisikan yang tidak betul.

Tambahnya, kaedah lain diamalkan seperti ‘scan’ dari jarak jauh menggunakan nama atau gambar sasaran, yang baginya dikategorikan sebagai menilik.

“Scan dari jarak jauh menggunakan nama atau gambar, ini pun termasuk dalam menilik. Selain itu kaedah pembedahan batin apabila upacara dimulakan de­ngan bismillah dan al-Fatihah untuk bagi nampak Islamik.

“Biasanya bacaan mentera tidak akan didengari. Sebab mereka akan baca al-Quran de­ngan kuat, kemudian diikuti pula dengan bacaan yang tak dapat didengari.

“Persoalannya kalau yang dibacakan itu ayat al-Quran, kenapa tidak dibaca dengan kuat? Ini menimbulkan keraguan di mana kaedah rawatan Islam tidak membenarkannya,” katanya yang turut mengendalikan laman web perawatislam.com.

Ditanya tentang alasan oleh perawat bahawa amalan mereka itu adalah satu ikhtiar, Abdullah berkata, umat Islam mesti me­ngetahui bahawa apa sahaja hendak dilakukan mesti dibenarkan mengikut syarak.

Katanya, rawatan Ruqyah Syariyyah hendaklah bersih daripada kaedah meragukan dan yang ada unsur syirik serta khurafat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN