fbpx
CINTA ekspres sering kali mengabaikan elemen penting seperti pemahaman terhadap nilai-nilai teras, gaya hidup dan matlamat pasangan. - GAMBAR HIASAN

Waspada ayat manis di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI manusia, sudah semestinya kita pernah menjalin hubungan cinta.

Ada yang mengakhiri hubungan percintaan dengan ikatan perkahwinan, namun ada yang kecewa akibat ditipu selepas menyerahkan segala-galanya kepada pasangan biarpun baru dikenali.

Pensyarah Kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr. Norsafatul Aznin A. Razak berkata, di era moden yang serba pantas ini, hubungan cinta sering kali terbentuk dengan begitu cepat dan tergesa-gesa yang digelar cinta ekspres.

Katanya, walaupun keghairahan dalam perasaan adalah sesuatu yang indah, namun keghairahan yang tidak disertai pemikiran mendalam boleh membawa risiko besar dalam perhubungan.

“Cinta yang terlalu cepat tanpa asas kukuh berpotensi memperjudikan kestabilan hubungan jangka panjang.

“Cinta ekspres sering dikaitkan dengan hubungan yang terjalin terlalu cepat tanpa proses pengenalan diri yang mendalam antara pasangan,” katanya kepada Kosmo!.

Dalam situasi ini, keputusan besar seperti perkahwinan atau komitmen serius sering dibuat berdasarkan emosi sementara atau analisis yang kurang mendalam.

Malah, faktor seperti media sosial, aplikasi temu janji dan tekanan untuk ‘mengikut arus’ mendorong individu tergesa- gesa dalam memilih pasangan.

Cinta ekspres sering kali mengabaikan elemen penting seperti pemahaman terhadap nilai-nilai teras, gaya hidup dan matlamat pasangan.

Mengulas lanjut, Norsafatul Aznin memberitahu, statistik perceraian juga menunjukkan risiko nyata apabila hubungan dibina secara terburu-buru.

Di Malaysia, statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar perceraian meningkat mendadak terutama melibatkan pasangan muda dan usia perkahwinan kurang lima tahun berpunca daripada kurang persefahaman, harapan tidak realistik dan tekanan emosi akibat konflik yang tidak diselesaikan.

“Meskipun isu perceraian ini tidaklah menjadi cerminan langsung dari cinta ekspres, risiko cinta yang tergesa-gesa tanpa mempertimbangkan masa yang mencukupi untuk mengenali satu sama lain, pasangan mungkin gagal untuk memahami kepribadian, matlamat hidup dan nilai-nilai teras masing-masing.

“Hal ini boleh mencetuskan konflik apabila realiti kehidupan bersama mula terbongkar apabila pasangan mula melalui kitaran perhubungan dan keluarga yang lebih mendalam,” ujarnya.

Lebih membimbangkan, sebanyak 11,092 kes penipuan cinta atau love scam dilaporkan dalam tempoh 2019 hingga 2022 dengan kerugian mencecah RM1.6 bilion.

Scammer sering mengeksploitasi keinginan individu khususnya wanita yang rentan untuk mencari cinta dengan membina kepercayaan.

Risiko tersebut sangat berkait dengan fenomena hubungan ekspres atau cinta dalam talian yang mana mangsa mudah terjerat dalam penipuan yang kelihatan meyakinkan, tetapi sebenarnya bertujuan untuk menipu secara kewangan.

Keadaan itu sering berlaku kerana kurangnya pemeriksaan latar belakang dan kepercayaan berlebihan terhadap kenalan baharu dalam talian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN