KEMAMAN – Kira-kira 2,000 penduduk Taman Rakyat Teluk Kalong di sini kecewa apabila sistem pembentungan yang siap dibina setahun lalu didakwa gagal mengatasi masalah banjir di taman perumahan mereka.
Sepanjang bulan lalu sahaja, taman perumahan yang mempunyai 500 buah rumah itu ditengggelami air sedalam hampir dua meter sebanyak dua kali.
Seorang penduduk, Rozilawati Mohamad, 40, mendakwa, pada mulanya penduduk gembira apabila taman perumahan mereka terselamat daripada banjir pada tahun lalu setelah siapnya projek tersebut.
Sistem pembentungan sepanjang 1 kilometer itu dibina untuk mengalirkan air dari taman perumahan tersebut ke Sungai Kuang.
“Begitupun bak kata pepatah, ‘disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’, taman perumahan kami kembali dilanda banjir tahun ini.
“Tambah mengecewakan impak banjir kali ini jauh lebih teruk berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Taman Rakyat Teluk Kalong di sini semalam.
Rozilawati mendakwa, hujan lebat tiga jam sudah cukup untuk menenggelamkan taman perumahan mereka sewaktu banjir pada pertengahan dan hujung bulan lalu.
Zainuri Ismail, 42, pula berkata, impak banjir musim tengkujuh kali ini menyebabkan semua perabot dan tilam rumahnya musnah.
Katanya, kesemua barangan tersebut terpaksa dibuang sehingga memaksa dia, isteri dan tujuh anak mereka kini tidur beralaskan tikar dan toto sahaja.
“Banjir kali ini lebih besar sehingga impaknya turut dirasai di Kawasan Perindustrian Telok Kalong berhampiran,” dakwanya.
Mohd. Zahari Yusoff, 41, pula percaya banjir yang melanda taman perumahan tersebut baru-baru ini berpunca daripada sistem saliran yang tidak sempurna.
“Taman perumahan ini sebenarnya jauh dari sungai. Saya rayu pihak berkaitan selesaikan isu penyelenggaraan sistem saliran ini,” tambahnya.














