SALZBURG – Paris Saint Germain (PSG) menghidupkan kembali peluang mereka dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan kemenangan 3-0 ke atas RB Salzburg awal pagi semalam hasil jaringan Goncalo Ramos, Nuno Mendes dan gol lewat Desire Doue.
Kemenangan di Red Bull Arena Salzburg itu melonjakkan PSG ke kelompok playoff sekali gus memberi harapan baharu kepada skuad kendalian Luis Enrique.
PSG kini mengumpul tujuh mata daripada enam perlawanan dan menduduki tangga ke-24, manakala Salzburg terperosok di tempat ke-32.
Juara Perancis itu mempamerkan aksi meyakinkan sejak awal permainan dengan rembatan jarak jauh Lee Kang-in dan percubaan Vitinha memaksa penjaga gol Salzburg, Alexander Schlager bekerja keras.
Penyerang muda PSG, Bradley Barcola turut mencipta peluang selepas larian solo ke kawasan penalti tetapi gagal menyempurnakan peluang itu.
“Saya perlu terus bekerja untuk menunjukkan potensi sebenar saya. Ini bukan masalah mental, tetapi lebih kepada penyudah yang masih kurang tajam,” kata Barcola.
Pada babak kedua, PSG meneruskan dominasi sementara Salzburg bergelut mendapatkan rentak dengan peluang terbaik hadir menerusi rembatan Nene Dorgeles pada minit ke-63, namun dinafikan oleh penjaga gol pelawat, Gianluigi Donnarumma.
Kemenangan itu memberikan suntikan semangat buat PSG yang akan berdepan Manchester City untuk aksi ketujuh UCL pada 22 Januari depan sebelum menamatkan kempen menentang VfB Stuttgart seminggu kemudian. – AGENSI














