MANCHESTER – Legenda Manchester United, Wayne Rooney percaya bekas pasukannya masih sukar untuk bersaing merebut gelaran Liga Perdana Inggeris musim depan biarpun menunjukkan peningkatan sejak dikendalikan oleh Michael Carrick.
Sejak mengambil alih United pada Januari, Carrick berjaya membantu pasukan itu mengutip 39 mata dan tertinggi berbanding seluruh pasukan dalam EPL untuk tempoh berkenaan sekali gus menyaksikan mereka menamatkan saingan di kedudukan ketiga dan layak ke Liga Juara-Juara (UCL).
Rooney mengakui prestasi berkenaan memberikan kegembiraan buat penyokong, namun tidak pasti sama ada United sudah bersedia untuk mencabar kejuaraan liga secara konsisten untuk musim baharu.
“Persoalannya adalah sama ada mereka boleh terus berkembang daripada kedudukan sekarang. Jadi, jika United menamatkan musim dalam kelompok empat terbaik musim depan dan mungkin memenangi FA Cup serta beraksi dengan baik dalam Liga Juara-Juara, itu juga satu kemajuan.
“Kita semua mahu mereka memenangi liga, tetapi kita perlu realistik dan bertanya adakah mereka akan memenangi liga? Adakah mereka akan memenangi Liga Juara-Juara? Saya rasa ia akan menjadi sangat sukar,” katanya.
Bagaimanapun, bekas penyerang United, Michael Owen, berpendapat bahawa Red Devils adalah salah satu daripada dua pasukan yang mampu memberi cabaran kepada Arsenal musim depan.
“Saya fikir cabaran musim depan hanya akan datang dari Manchester. Manchester City akan kekal kuat walaupun Pep meninggalkan pasukan. Mereka memberi saingan sengit kepada Arsenal musim ini dan mempunyai kumpulan pemain muda yang baik.
“Manchester United juga boleh menjadi pencabar kejuaraan di bawah Michael Carrick. Jika melihat prestasi mereka sejak beliau mengambil alih, ia sememangnya prestasi yang setaraf dengan pencabar gelaran,” jelasnya. – AGENSI














