ALOR SETAR – Kedah Darul Aman (KDA) FC memutuskan untuk tidak menjual 100 peratus kepentingan saham kepada anak syarikat Kumpulan DSAT, Mahsuri Medical Centre.
KDA FC dalam satu kenyataan di akaun Facebook berkata, pihaknya telah menghantar surat kepada pihak Mahsuri Medical Centre pada hari ini.
Katanya, surat tersebut bagi memaklumkan bahawa pihaknya telah memutuskan untuk tidak meneruskan perbincangan tentang penjualan 100 peratus saham KDA FC.
“Pihak KDA FC mendoakan yang terbaik kepada Mahsuri Medical Centre dalam pembangunan perniagaan pada masa hadapan,” katanya.
Pada 29 Oktober lalu, sebuah syarikat yang pernah menyatakan hasrat untuk memiliki pasukan bola sepak KDA masih menaruh harapan agar pelawaan mereka diterima demi mengatasi kemelut kewangan dihadapi Sang Kenari.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT, Datuk Seri Azizul Tandek berkata, pihaknya sekali lagi terpanggil untuk memulihkan semula pasukan serta menarik kehadiran ribuan penyokong setia skuad Hijau Kuning kembali ke stadium.
Susulan itu, KDA FC mempelawa mana-mana pihak yang berminat memiliki kelab bola sepak itu untuk menghantar surat tunjuk minat atau surat tawaran secara rasmi kepada mereka.
Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pemegang saham KDA FC tidak ada halangan untuk mempertimbangkan mana-mana tawaran yang munasabah serta tulen demi kepentingan dan kelangsungan KDA FC.
Menurutnya, pihak kelab amat mengalu-alukan hasrat murni itu serta menghargai kesediaan dan keberanian untuk membeli keseluruhan pegangan saham KDA FC memandangkan perniagaan dalam industri sukan bola sepak terlalu mencabar.
Pelawaan itu disambut pantas Azizul yang mengutuskan surat rasmi melalui MMC pada Ahad, minggu lalu dan mengharakan pihak KDA FC dan Mohd. Daud diharap menerima apa jua tawaran daripadanya agar dapat bersama-sama merealisasikan hasrat untuk melihat KDA FC terus bersinar. – KOSMO! ONLINE














