fbpx
LIMA selebriti tanah air, Vanidah, Anna Rafali, Tasha Manshahar, Syed Syamin dan Najwa Latif perlahan-lahan meninggalkan dunia seni dan kini menjunjung gelaran sebagai pendidik bangsa.

Dahulu jual bakat, sekarang jadi guru nadi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGGAL 16 Mei merupakan hari yang sangat istimewa buat para pendidik negara. Dengan tema Guru Bitara Nadi Negara tahun ini, tiada siapa dapat menidakkan sumbangan dan jasa mereka yang bergelar guru di mana sahaja keberadaan golongan luar biasa itu.

Seorang guru bukan hanya mengajar ilmu, tetapi membentuk jiwa dan harapan. Mereka laksana lilin yang membakar diri menerangi masa depan orang lain.

Di gelanggang seni, tidak terkecuali ramai insan yang bergelar pendidik dalam pada disinari cahaya glamor. Ada yang masih melunaskan komitmen serampang dua mata, ada juga yang memilih untuk mengorbankan kerjaya seni demi masa depan anak bangsa. HibGlam minggu ini merangkumkan lima selebriti popular yang bergelar pendidik, namun pada masa sama, masih mengerah kudrat dalam arena seni hiburan tanah air.

Anna Raffali

ANNA Raffali bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi berbakat, malah turut aktif dalam dunia pendidikan apabila pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur. Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali juga mempunyai latar belakang akademik dalam bidang TESL dari UiTM Shah Alam selain berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam bidang Teknologi Pengajaran di UIAM, sekali gus membuktikan minatnya terhadap dunia pendidikan.

Vanidah Imran

VANIDAH Imran, pelakon popular Malaysia kini bergelar pensyarah di Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Beliau mengajar dalam bidang seni kreatif, khususnya berkaitan filem, teater, dan animasi selain menyifatkan kerjaya itu sebagai impian yang menjadi kenyataan. Beliau berkhidmat di UiTM dengan rekod mengajar di kampus Puncak Perdana di bawah Fakulti Filem, Teater & Animasi (FiTA). Pelakon filem Daulat itu merupakan pemegang Ijazah Sarjana (Master) dari Universiti Malaya (UM).

 

Najwa Latif

NAJWA Latif merupakan seorang penyanyi dan penulis lagu Malaysia yang juga bergelar pendidik. Selain aktif dalam dunia muzik, beliau memilih kerjaya sebagai seorang guru kerana minatnya terhadap dunia pendidikan dan keinginan untuk berkongsi ilmu dengan generasi muda. Najwa Latif pernah menjadi pensyarah Bahasa Inggeris di UNITAR International University. Baru-baru ini juga, pelantun lagu Muka Buku itu dilaporkan telah mengajar di UiTM Dengkil untuk pelajar Asasi.

Tasha Mansahar

TASHA Manshahar bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi, malah pernah berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur. Beliau sering berkongsi pengalaman mengimbangi kerjaya seni dan dunia pendidikan, serta dikenali kerana minatnya dalam mendidik dan memberi inspirasi kepada pelajar. Cukup dikenali menerusi dengan lagu Bukan Aku, Tasha yang merupakan lulusan Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas di Cheras, Kuala Lumpur kini berkhidmat di sebuah sekolah kerajaan di Melaka.

Syed Shamim

TERKENAL dengan lagu Ragu-Ragu, Syed Shamim atau nama lengkapnya, Syed Shamim Syed Abdul Kadir Al-Idrus merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik dengan pengkhususan vokal dan pernah menyatakan hasrat untuk menjadi seorang pendidik. Masih aktif dalam dunia nyanyian meskipun kerjaya sebagai guru menjadi prioriti, Shamim masih aktif berkongsi tugas hakiki sebagai pendidik dan minat menyanyinya di media sosial. Difahamkan, beliau kini berkhidmat di SK Bukit Lintang, Kota Tinggi, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN