fbpx

MNRB ambil alih 80 peratus ekuiti Labuan Re

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – MNRB Hol­dings Berhad (MNRB) telah memeterai perjanjian pembelian saham bersyarat untuk mengambilalih baki 80 peratus kepentingan dalam Labuan Reinsurance (L) Ltd (Labuan Re) dengan jumlah pertimbangan tunai kira-kira AS$100.69 juta (RM400.49 juta).

Labuan Re adalah syarikat bersekutu kepada Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), anak syarikat milik penuh MNRB, yang memegang 20 peratus kepentingan.

Setelah selesai, Malaysian Re akan mengekalkan kepentingan 20 peratus sedia ada dalam Labuan Re, manakala MNRB akan memegang baki 80 peratus secara langsung, menjadikan Labuan Re sebagai anak syarikat milik penuh MNRB.

Cadangan Pengambilalihan ini dibina atas hubungan sedia ada MNRB dengan Labuan Re dan menandakan langkah penting dalam mengukuhkan kehadiran antarabangsa MNRB dan anak-anak syarikatnya (Kumpulan MNRB).

Labuan Re adalah syarikat reinsurans luar pesisir yang beroperasi di Labuan International Business and Financial Centre dan menaja jamin perniagaan reinsurans am serta retakaful am di pelbagai pasaran.

Pengerusi MNRB, Datuk Sulaiman Mohd. Tahir berkata, pengambilalihan ini adalah langkah bermakna dalam perjalanan pertumbuhan MNRB dan mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi jangka panjang Labuan Re sebagai sebahagian daripada Kumpulan.

“Labuan Re telah membina kehadiran yang kukuh dalam pasaran reinsurans antarabangsa, kami percaya bahawa membawa ia sepenuhnya ke dalam MNRB akan mewujudkan platform yang lebih kuat untuk pertumbuhan masa depan.

“Sebagai sebuah Kumpulan, kami kekal fokus untuk membina skala secara bertanggungjawab, mengukuhkan relevansi serantau dan memastikan modal digunakan dengan cara yang ­menyokong penciptaan nilai mampan.

“Transaksi ini sejajar dengan hala tuju tersebut dan mengukuhkan komitmen kami untuk membangunkan MNRB sebagai kumpulan reinsurans dan retakaful yang lebih kuat serta berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.

Cadangan pengambilalihan dijangka mengukuhkan fokus reinsurans MNRB dan menyokong fasa pertumbuhan antarabangsa seterusnya.

Selepas memiliki sepenuhnya Labuan Re, MNRB akan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk menyelaraskan perniagaan dengan hala tuju dan trajektori pertumbuhan Kumpulan, meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa, serta mengoptimumkan penggunaan modal dalam operasi reinsurans dan retakafulnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN