fbpx
Songkhla, antara destinasi popular di negara Gajah Putih dikunjungi rakyat Malaysia.

Duit boleh cari, yang penting kita ‘healing’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sejak Jumaat lalu, lebuh raya-lebuh raya utama di seluruh negara sesak dengan kenderaan. Apa tidaknya, orang ramai mengambil kesempatan cuti panjang hujung minggu sempena Hari Malaysia dan Maulidur Rasul untuk pergi bercuti.

Bagi yang mempunyai anak-anak pula, cuti sekolah selama seminggu dimanfaatkan untuk makan angin, balik kampung dan memenuhi jemputan kenduri kahwin.

Seorang kenalan yang bertolak dari Kuala Lumpur pada malam Jumaat memandu sembilan jam untuk sampai ke Terowong Menora. Hentian rehat dan rawat (R&R) juga sesak. Orang ramai beratur panjang untuk ke tandas.

Menghadap kesesakan pada musim cuti sekolah dan raya menjadi pemandangan biasa terutamanya bagi golo­ngan perantau dari Pantai Timur, utara dan selatan. Orang kata, alah bisa tegal biasa.

Namun bagi mereka yang jarang-jarang memandu untuk satu tempoh yang lama boleh muntah dibuatnya. Disebabkan terpaksa menghabiskan masa atas jalan, ada yang terlepas feri untuk ke Pulau Langkawi dan terpaksa bermalam di Perlis/Kedah sementara menunggu trip seterusnya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menjelaskan empat faktor berlakunya kesesakan lalu lintas pada musim cuti kali ini antaranya pengguna jalan raya keluar serentak untuk perjalanan jarak jauh, jadi jalan raya penuh dengan kenderaan.

Antara faktor lain adalah tarikan pusat pelancongan seperti Cameron Highlands, Genting Highlands dan Langkawi menyebabkan laluan menuju ke sana sesak.

Ada juga yang memilih untuk makan angin di Thailand. Destinasi popular di negara Gajah Putih itu sudah tentu Hat Yai, Songkhla dan wilayah berdekatan seperti Phatthalung, Trang dan Krabi.

Dianggarkan hampir 100,000 orang Malaysia bercuti ke Thailand hujung minggu lalu sehingga menyebabkan Hat Yai sesak, malah orang Thailand sendiri mengakui mereka mengelak ke lokasi tersebut dan secara berseloroh mengatakan orang kita lebih arif tempat makan di sana.

Ramai yang pilih bercuti di negara jiran kerana jarak dekat, harga penginapan juga berpatutan selain mudah mencari makanan halal, sedap dan murah.

Tidak sukar mencari kedai makan best di sana, cari video tular banyak pilihan tempat makan menarik untuk dikunjungi.

Bila sampai sahaja di destinasi yang dituju penat kerana memandu akan beransur-ansur hilang. Sebab itu ada yang tidak pernah serik meredah kesesakan sampai berbelas jam. Tidak kisah sama ada bercuti ke tempat pelancongan atau balik kampung.

Bercuti atau perkataan popular ketika ini healing walaupun untuk tempoh yang sekejap cuma tiga hari dapat meredakan tekanan.

Jangan perli orang banyak duit sebab dapat pergi makan angin walau cuma ke Langkawi atau Hat Yai. Mungkin mereka sudah membuat perancangan awal dengan menabung untuk menggembirakan pasangan, ibu bapa dan anak-anak.

Duit boleh dicari, tetapi masa bersama keluarga akan menjadi momen indah untuk dikenang.

Kepada yang masih bercuti, jaga diri dan keselamatan keluarga. Bagi mereka yang baru hendak bercuti masih belum terlambat, masih berbaki empat hari sebelum sekolah dibuka.

Kepada mereka yang memandu, semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN