fbpx
Ahmad (bukan nama sebenar) terjerumus dalam kancah dadah sejak berusia 20 tahun. - GAMBAR HIASAN

Jual dadah lepas gagal dapat kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Gagal mendapatkan pekerjaan menyebabkan seorang lelaki dikenali Ahmad, 28, terjerumus dalam kancah dadah dengan menjual serta menjadi penghantar bahan terlarang berkenaan dan mendapat upah RM5,000 sehari.

Menurutnya, dia mula terjebak dalam kancah dadah ketika berusia 20 tahun setelah gagal mendapat pekerjaan lain walaupun telah memohon beberapa kerja daripada beberapa syarikat.

“Saya kemudian mengenali seorang lelaki yang mengajak menjual dadah. Pada mulanya saya tolak tawaran tersebut namun ­disebabkan gagal mendapat kerja, saya terima juga tawaran kerana duit semakin sedikit.

“Memang takut pada peringkat awal jual dadah ini kerana bimbang ditahan polis.

“Tetapi perasaan itu hilang ke­rana saya dapat upah sehingga RM5,000 untuk satu trip sekiranya jual atau berjaya bawa dadah itu sampai ke pelanggan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Lelaki berasal dari Kota Belud, Sabah itu menjual dadah jenis Erimin 5 dan methamphetamine dengan harga sekitar RM10 hingga RM20 satu pek di sekitar Lembah Klang.

Ahmad berkata, pelanggannya memang ramai sehingga dia terpaksa bekerja setiap hari bagi memastikan individu berkenaan mendapat stok yang ditempah mereka.

“Kehidupan ketika itu memang seronok kerana banyak duit dan boleh beli apa-apa sahaja yang saya mahukan.

“Namun, hidup saya berubah setelah ditahan polis dalam satu operasi pada 2019 di sekitar Lembah Klang mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Dia kemudiannya didapati bersalah oleh mahkamah dan kemudiannya dipenjarakan di penjara Sungai Buloh dan Kajang dari tahun 2019 hingga 2021.

“Setelah menjalani hukuman, saya menyertai program I-Kembali yang dikelolakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) pada tahun lalu dan akhirnya diberi peluang bekerja sebagai jurujual.

“Alhamdulillah, saya kini le­bih bahagia dan tenang dengan mempunyai rakan-rakan yang sentiasa memberikan dorongan dan semangat untuk bekerja,” ujarnya yang lima tahun terbabit dalam kancah dadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN