GURU dilihat sebagai kerjaya profesional kerana sebelum seseorang itu dilantik, mereka perlu melalui proses pendidikan yang terdiri daripada empat elemen utama.
Elemen tersebut merangkumi pengetahuan bidang ilmu, kemahiran pedagogi dan amalan kemahiran insaniah yang merangkumi aspek komunikasi, personal, interpersonal, penyelesaian masalah, kepimpinan, etika serta profesionalisme.
Selepas dilantik, seseorang guru itu akan melaksanakan tugas melalui proses pengajaran dan pembelajaran dengan perancangan sistematik dari aspek pendekatan, strategi, kaedah serta teknik bagi menyampaikan kandungan kurikulum.
Proses tersebut diikuti dengan pentaksiran dan penilaian yang akan menjelmakan pula strategi pemulihan serta pengayaan.
Senario yang digambarkan ini mewajarkan seseorang guru itu perlu dihormati kerana tugas mereka memerlukan pengorbanan besar.
Proses yang sistematik itu juga membuktikan bahawa guru sebagai kerjaya profesional.
Untuk memperkukuh kualiti profesional keguruan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membina evolusi pendidikan guru iaitu daripada Sijil Perguruan Asas kepada Diploma Perguruan Malaysia (DPM) dan diangkat martabatnya kepada Ijazah Sarjana Muda Perguruan (ISMP).
Dalam rangka reformasi pendidikan pula, KPM telah menawarkan Program Ijazah Sarjana Perguruan (ISP) di enam buah kampus Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan ISP yang akan beroperasi pada pertengahan bulan lalu.
Apabila bergelar sebagai seorang guru, ia bukan sekadar berjaya memperoleh pekerjaan.
Sebaliknya, seorang guru itu menjadi satu kebanggaan seperti mana tergambar dalam bait lagu IPGM, iaitu Kami Bangga Menjadi Guru kerana dihormati.
Kebanggaan sebagai seorang guru bukan sahaja terzahir sewaktu siswa guru di kampus IPGM, tetapi turut bergema menerusi suara lebih 450,000 warga guru yang melaungkan laungan keramat, Kami Guru Malaysia.
Janji ini menjadi pegangan guru dalam mengimani amanah diberi.
Ya, bukan tugas profesional guru untuk menjanjikan jumlah ‘A’ kepada murid-murid.
Sebagai seorang guru yang profesional, mereka akan mengeksploitasi segala ilmu, kemahiran dan pengalaman untuk merancang serta melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran berkesan.
Hal ini berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu usaha ke arah membangunkan insan yang seimbang dan harmoni dari aspek intelek, rohani, emosi serta jasmani.
Sehubungan dengan ini, perlu dimengertikan dengan tuntas akan tugas guru dalam membangunkan potensi murid.
Tidak mungkin guru mengabaikan muridnya demi matlamat mengejar jumlah ‘A’. Sebaliknya, guru berusaha sedaya upaya membangunkan dan membesarkan potensi setiap murid dari aspek pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika, kerohanian serta identiti nasional.
Bagi memperkukuh matlamat ini, reformasi pendidikan yang diterajui oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menegaskan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran guru perlu berupaya membangunkan karamah insaniah.
Ia merangkumi aspek membangunkan adab, akhlak dan integriti, di samping memperkasakan pendidikan manusiawi.
Elemen yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran tersebut dapat membina karakter murid bagi mendepani cabaran hidup masa hadapan.
Oleh itu, Fadhlina juga menegaskan bahawa pendidikan untuk ‘otak dan watak’.
Proses pengajaran dan pembelajaran bukan sekadar untuk melahirkan murid yang mempunyai ilmu pengetahuan, tetapi berhasrat melahirkan murid yang memiliki perwatakan harmonis.
Misalnya, berkemahiran pelbagai, berfikiran cerdas, kreatif dan bijaksana, memiliki keseimbangan psikologi dan emosi, kukuh pegangan agama dan tinggi semangat patriotiknya.
Elemen itu sebagai teras pembinaan karakter generasi akan datang dan turut memperkukuh usaha guru dalam membangunkan murid sebagai manusia yang memiliki nilai-nilai manusiawi.
Inilah kebanggaan sebagai guru kerana dapat menabur bakti setulus hati nan murni, iaitu mendidik dan membimbing putera dan puteri negara.
Bangganya seorang guru kerana profesion keguruan menjadi mekanisme bagi menzahirkan semangat patriotisme.
Dalam lagu Kami Guru Malaysia, guru sedar bahawa mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan.
Atas kesedaran itu, guru menumpahkan taat setia kepada baginda sebagai ketua negara untuk bersama-sama membantu dan membina negara yang tercinta.
Guru tidak membina bangunan pencakar langit. Guru juga tidak membina jambatan yang menghubungkan antara kawasan. Bagaimanapun, untuk membina bangunan dan jambatan itu, perlunya tenaga manusia.
Di sini, guru berbangga kerana guru mampu menyediakan tenaga manusia berkualiti menerusi pendidikan.
Menerusi kualiti diri murid yang dibangunkan oleh guru, murid mampu menjadi pekerja yang cemerlang. Mereka melaksanakan projek pembangunan dengan penuh berintegriti dan jujur.
Lantaran itu, pembangunan negara dijayakan dengan sebaik mungkin dan berkualiti, tidak tergendala dan tiada pula berlaku ketirisan.
Oleh itu, guru yang merupakan insan terpilih sebagai arkitek generasi masa hadapan mesti berbangga dengan profesion keguruan.
Guru hendaklah menginsafi bahawa amanah mendidik dan membimbing putera dan puteri negara. Nyala rasa guru merupakan pemangkin untuk menabur bakti mendidik anak bangsa.
Usaha mendidik dan membimbing generasi pewaris tiada berpenghujung.














