PORT DICKSON – Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Saujana maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta yang sedang membelok masuk ke sebuah medan selera di kilometer 5.2, Jalan Pantai, di sini semalam.
Kejadian pukul 10.40 malam itu mengakibatkan Muhamad Azlan Rosly, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin, sebelum kejadian kereta itu dipandu dari arah Linggi menghala ke Medan Selera Bagan Pinang.
“Pemandu kereta dipercayai membelok ke kiri untuk memasuki kawasan medan selera sebelum sebuah motosikal dari arah belakang gagal mengelak dan merempuh kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Ujar Maslan, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE














