MELAYU, mengikut artikel 160 Perlembagaan Malaysia mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu dan bertutur menggunakan bahasa Melayu.
Biarpun majoriti masyarakat Malaysia beragama Islam, namun kebanyakan adat budaya Melayu sudah semakin lenyap dan penggunaan bahasanya juga sudah berkurangan.
Ini termasuk individu-individu yang diiktiraf sebagai bangsa Melayu di atas surat beranak dan kad pengenalan.
Lebih parah, bahasa ‘rojak’ Melayu-Inggeris sudah menjadi mod rasmi buat generasi Alpha iaitu mereka yang dilahirkan antara 2010 dan 2024.
Adat dan budaya Melayu juga sudah hanyut dilanda gelombang globalisasi apabila lebih ramai anak muda lebih gemar terhadap budaya luar berbanding budaya sendiri.
Sayunya sekiranya ungkapan keramat Laksamana Hang Tuah iaitu ‘takkan Melayu hilang di dunia’ lenyap bersama pudarnya identiti Melayu itu sendiri.
Namun, situasi tersebut bakal menjadi ironi kerana kita masih lagi memiliki institusi beraja Melayu yang diwarisi sejak beberapa abad lamanya.
Menurut pakar Perlembagaan Persekutuan dan Sosio Budaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim, masyarakat Melayu tidak pandai menangani proses akulturasi budaya yang berlaku.
Susulan itu, mereka menjadi bangsa yang bersifat xenocentrism iaitu mempercayai bahasa budaya lain lebih baik daripada bahasa budaya sendiri.
“Masyarakat Melayu tidak seperti masyarakat Cina yang utuh mempertahankan bahasa dan budaya mereka biarpun mereka lebih minoriti di negara ini.
“Masyarakat Melayu bukan sahaja tidak lagi mampu bersajak dan berpantun, malah pertuturan hariannya juga bercampur aduk.
“Pengamalan adat budaya Melayu sudah dilupakan kerana kebanyakan unsur budaya dianggap tidak bersifat islamik,“ katanya kepada Kosmo!.
Tambah bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu, usaha segera perlu dilakukan agar warisan Melayu akan dapat dikekalkan dan diwarisi ke generasi akan datang.
Katanya, perkara utama yang perlu diberi tumpuan adalah teguhkan kembali sistem pendidikan negara serta jadikan Rukun Negara sebagai pegangan kepada perlembagaan Malaysia.
“Sekolah kebangsaan penting sebagai pusat pengajaran nilai-nilai yang berlandasan rukun negara, namun terdapat sentimen negatif terhadapnya.
“Oleh itu, antara yang boleh dilakukan oleh sistem sekolah kebangsaan adalah tingkatkan tahap disiplin, tingkatkan capaian untuk sains dan matematik dan bersederhana dalam menerapkan unsur keislaman.
“Apabila keyakinan ibu bapa daripada pelbagai kaum terhadap kualiti sekolah kebangsaan sudah ada, mudahlah kita kembalikan elemen kenegaraan yang memiliki unsur ketuanan Melayu itu ke dalam jiwa generasi baharu,” ujarnya.
Untuk rekod, Kementerian Pendidikan (KPM) melaporkan bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menyaksikan peningkatan kemasukan murid Bumiputera hampir sekali ganda dalam tempoh 10 tahun.
Berdasarkan kenyataan bertulis dalam Parlimen, peningkatan berlaku daripada 11.67 peratus pada 2014, kepada 18.52 peratus tahun ini.
Sementara itu, kemasukan murid bukan Bumiputera di Sekolah Kebangsaan (SK) pula menurun daripada 6.19 peratus pada 2014 kepada 4.88 peratus pada 2024.















