BERKONSEP mewah dan reka bentuk ‘elektrik sofistikated’ adalah lambang keunggulan kenderaan elektrik (EV) Lexus model RZ 450e.
Lexus Malaysia telah melancarkan SUV elektrik penuh itu bulan lalu untuk pasaran negara ini selaras dengan perkembangan kenderaan tenaga baharu bagi mengurangkan emisi karbon.
RZ 450e merupakan model pertama yang dibangunkan Lexus sebagai SUV elektrik penuh berasaskan konsep reka bentuk Seamless E-Motion.
Rekaannya berinspirasikan ‘cheetah’ atau harimau bintang yang lincah, atletik dan dinamik menjadikan model ini tampil menarik.
Reka bentuk dari hadapan hingga belakangnya tampak sporty dan dipadankan dengan garisan hud rendah yang dinamik serta wheel arch (gerbang roda) bagi memberi aliran udara yang optimum serta kecekapan aerodinamik.
Walaupun gril spindle signatur Lexus tiada pada model ini, tetapi rekaannya masih sinonim sengan gaya Lexus dengan ciri bentuk badan spindle pada jentera ini.
Reka bentuk bahagian belakang RZ 450e nampak seperti berotot dan mempunyai lengkungan dengan lampu hadapan rekaan baharu nampak seperti mata cheetah yang tajam.
Lampu belakang pula dengan rekaan baharu futuristik bercorak garisan lurus melintang serta kemasan lencana Lexus di bahagian tengah.
Dari segi kuasa, RZ 450e ialah model Lexus pertama yang menggunakan platform e-TNGA yang baru dibangunkan.
RZ 450e dipasang dengan pek bateri litium-ion berkapasiti 71.4kWh yang memberi jarak pemanduan cas penuh hingga 440 kilometer.
Kenderaan ini dicas dengan pengecasan AC 11kW menggunakan kabel Type 2, manakala pengecasan DC 150kW dengan kabel CCS2 mampu mengecas dari 0 hingga 80 peratus hanya dalam sekitar 30 minit.
RZ 450e menggunakan pacuan semua roda (AWD) hasil daripada kehadiran dwimotor elektrik yang terletak pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan itu.
Gabungan motor elektrik tersebut menghasilkan kuasa output maksimum sehingga 308hp dan tork maksium 435Nm yang mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 5.3 saat.

RZ juga model pengeluaran pertama yang menggunakan sistem AWD roda pintar Lexus baharu DIRECT4 berfungsi dengan dua gandar elektrik e-Axles.
Meninjau ke ruangan kabin, RZ menampilkan perincian evolusi konsep Tazuna dengan paparan head-up display (HUD), panel meter TFT bersaiz tujuh inci, paparan multimedia tengah 14 inci semuanya disusun dalam susun atur kokpit yang memberi visual yang jelas pada pengguna.
Center Console direka dengan hiasan Tsuyasumi yang menawarkan kesan arang berkilat dan memudahkan pemanduan.
Selain daripada itu, sistem pencahayaan ambien yang menawarkan spektrum 64 warna memberikan pencahayaan yang boleh disesuaikan mengikut minat atau pengalaman pemanduan pemandu.
RZ terbaharu ini juga dilengkapi 13 pembesar suara Mark Levinson Premium Surround Sound System yang bergaya dan berkuasa untuk menyampaikan bunyi berkualiti tinggi.
Tidak ketinggalan, dari segi keselamatan, model RZ ini dilengkapi dengan Lexus Safety System+ 3.0 yang merangkumi sistem prapelanggaran, kawalan jelajah dinamik radar serta Proactive Driving Assist yang akan melaraskan kawalan stereng mengikut arah jalan berdasarkan data yang diperoleh daripada kamera depan.
Untuk pilihan warna pula, RZ 450e ditawarkan dengan enam warna iaitu Aether Metallic, Sonic Copper, Sonic Chrome, Graphite Black Glass Flake, Sonic Quartz dan Sonic Iridium.
Pada harga RM429,888, Lexus RZ 450e menawarkan nilai yang luar biasa untuk SUV EV AWD sekelasnya.
Gabungan prestasi, jarak dan kemewahan menjadikannya pelaburan yang berbaloi bagi mereka yang ingin meneroka masa depan pemanduan dengan Lexus RZ 450e.














