Program ‘Usus Sihat, Ibu Hebat’ yang berlangsung di Dewan Arena Square, Dungun, Terengganu berjaya menarik lebih 300 peserta dengan menyajikan pelbagai acara menarik dalam kalangan komuniti setempat.
Program anjuran pengeluar minuman probiotik terkemuka dunia, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. (Yakult) itu diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Wanita Malaysia (Puspanita) cawangan Dungun serta Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) Dungun.
Pengarah Urusan Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Hiroki Yanase berkata, program komuniti tersebut merupakan inisiatif dan tanggungjawab sosial korporat syarikat bertujuan menyemarakkan kesedaran penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat terutama golongan ibu.
Menurutnya, program itu diadakan sempena sambutan Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia yang diraikan sekitar Mei lalu.
“Kami ingin meningkatkan kesedaran orang ramai termasuk ibu-ibu yang hebat tentang kepentingan penjagaan kesihatan usus kerana 80 peratus daripada sistem imuniti kita berada dalam usus.

“Aktiviti CSR ini selaras dengan falsafah korporat Yakult iaitu pencegahan penyakit di mana Yakult percaya bahawa mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
“Yakult juga berharap dapat menyebarkan kebaikan probiotik kepada seramai yang mungkin,” katanya ketika berucap pada pelancaran program itu.
Hadir sama ialah Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim.
Program bertujuan kebaikan berkenaan turut dimeriahkan dengan acara senamrobik anjuran Pejabat Kesihatan Dungun yang disertai peserta Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) daerah Dungun.
Selain itu, terdapat pemeriksaan dan ceramah kesihatan oleh pakar perubatan serta pameran oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta.
Turut diadakan pertandingan mencipta keunikan minuman Yakult (pertandingan memasak), anugerah ibu hebat dan pertandingan mewarna kanak-kanak mendapat penyertaan tinggi.
“Tiga orang ibu telah dipilih oleh Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) Terengganu sebagai penerima Anugerah Ibu Hebat berdasarkan keputusan pemeriksaan kesihatan melibatkan status indeks jisim badan (BMI), bacaan paras gula, tekanan darah dan paras kolesterol darah terbaik.
“Pelbagai hamper dan barangan elektrik juga disediakan sebagai hadiah cabutan bertuah,” ujarnya.














