fbpx
J7 menampilkan rekaan moden dengan pemegang pintu rata yang kekal tersembunyi sehingga kunci pintu dibuka.

J7 untuk pemanduan bandar tapi lasak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REKA bentuk moden dengan kebolehan meredah off-road menjadikan kereta premium Jaecoo J7 sebagai tarikan terbaharu.

Jaecoo ialah salah satu jenama yang berada di bawah jenama besarnya iaitu Chery Auto dan J7 merupakan model pertama yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada pertengahan Julai lalu.

Hasil gabungan perkataan Jerman ‘Jaeger’ (pemburu) dan perkataan Inggeris ‘Cool’, Jaecoo melambangkan kesempurnaan gandingan antara kemewahan dan lasak bagi pengembara yang aktif.

Berbekalkan sinergi dan pengalaman automotif menjangkau lebih sedekad, ketukangan pasukan reka bentuk pakar dari United Kingdom, Jerman dan negara-negara lain,

Jaecoo menetapkan penanda aras baharu bagi kenderaan utiliti sukan lasak (SUV) kegunaan lasak bandar.

Penulis tertarik dengan rekaan luaran dan dalaman J7 yang menampilkan dimensi terkini bagi SUV pacuan empat roda.

Jika sekali pandang, J7 mungkin hanya sesuai digunakan sebagai kenderaan keluarga di bandar, namun spesifikasinya yang luar biasa terbukti mampu merempuh hutan dan jalan rintangan.

J7 dalam SUV segmen C ini dijangka bakal memberi saingan kepada model terkemuka seperti Proton X70, Honda CR-V dan Mazda CX-5.

Untuk pasaran tempatan, Jaecoo J7 ditawarkan dengan dua pilihan iaitu versi pacuan semua roda (AWD) yang dijual pada harga kompetitif RM148,800, manakala pilihan dua roda (2WD) ditawarkan pada harga RM138,800.

Dari segi reka bentuk, J7 nampak moden dan gah dengan rekaan jeriji gril bersaiz besar yang dipadankan dengan lampu hadapan LED bercorak petak kecil.

Ia diperkemas dengan perincian rim aloi bersaiz 19 inci dan kaliper brek merah dengan cakera alih udara.

Roda depannya pula disokong oleh suspensi Strut MacPherson, manakala roda belakang menggunakan suspensi berbilang pautan.

Kemasan premium J7 diserlahkan dengan reka bentuk badan berpetak yang minimalis dan pemegang pintu rata yang kekal tersembunyi apabila kereta dikunci dan bergerak, sehinggalah kunci pintu dibuka.

J7 menampilkan lampu belakang dengan bar garisan lurus serta lencana ejaan JAECOO itu sendiri.

Dari segi dimensi, SUV mampu milik, Jaecoo J7 berukuran 4,500 milimeter (mm) panjang, 1,865mm lebar dan 1,680mm tinggi dan jarak roda pula 2,762mm.

Ruang tempat duduk belakang cukup selesa.

J7 mempunyai tujuh mood pemanduan pilihan yang boleh dipilih seperti eco, normal, sport, mud, sand, snow dan off-road untuk varian AWD, manakala untuk varian 2WD pula mempunyai mod pemanduan seperti eco, normal dan sport.

Sesuai sebagai kenderaan lasak dan pengembaraan, J7 mempunyai kapasiti ruang but 424 liter dan mampu mencapai 1,349 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata.

Meninjau ke ruang dalaman, J7 mempamerkan kemewahan dengan mempunyai paparan skrin multimedia sebesar 14.8 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk memberikan maklumat pemanduan kenderaan yang lebih jelas, paparan meter digital berukuran 10.25 inci disediakan dalam kereta premium ini bersama paparan head-up.

Selain itu, lampu ambien sebanyak 64 pilihan turut dilengkapkan untuk memberikan rasa mewah.

Keselesaan turut menjadi keutamaan dalam rekaan J7 dengan tempat duduk menggunakan material upholsteri kulit sintetik warna hitam dengan fungsi pelarasan elektrik untuk tempat duduk hadapan.

Perincian lain yang turut diberikan termasuk cermin privasi belakang, sistem kunci pintar bersama penghidup enjin kawalan jauh, cermin penebat haba serta bumbung suria panaromik.

Dari segi spesifikasi, kedua-dua varian Jaecoo J7 iaitu AWD dan 2WD menampilkan kuasa enjin petrol empat silinder 1.6 liter yang memberi kuasa output maksimum 194hp dan 290Nm kuasa tork.

SUV ini dipadankan dengan transmisi dwi klac tujuh kelajuan yang memberi pecutan dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya kurang 10 saat dan mencapai kelajuan maksimum 180km/j.

Gandar belakang model AWD ini juga mampu menampung beban sehingga 3,000Nm dan dihasilkan dengan jarak kelegaan tanah setinggi 200mm yang membolehkan J7 meredah air pada kedalaman 600mm.

Aspek keselamatan J7 bagi pasaran Malaysia dilengkapi dengan dashcam di bahagian hadapan, brek parkir elektronik, sistem pemantau pemandu, bantuan mendaki bukit dan menuruni cerun, pemantau had laju dan sistem pemantau tekanan angin tayar.

Ia juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju meliputi fungsi kamera panaromik 540 darjah, brek kecemasan automotif, pengesan titik buta, bantuan kelajuan selekoh dan bantuan tukar lorong.

Kesimpulannya, kemunculan SUV lasak premium Jaecoo J7 membuka lembaran baharu dalam segmen SUV bukan sekadar kenderaan harian di bandar tetapi pakej spesifikasi model ini untuk pemanduan dan pengembaraan di kawasan berintangan.

Pelanggan boleh membawa keluarga menikmati pengembaraan dengan J7 tanpa perlu memiliki kenderan lain.

Malah, rekaannya yang moden merupakan tarikan terkini dengan kebolehan ala Range Rover dengan harga mampu milik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN