Azman Mohd Hazizi, 31, membuktikan hubungan alumni dengan universiti tidak terhenti selepas menamatkan pengajian.
Lapan tahun selepas bergraduasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, beliau kembali ke kampus sebagai Pengarah Ameran Motor Sdn. Bhd. untuk menyumbangkan komputer riba kepada mahasiswa yang memerlukan menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat.
Bagi Azman, UiTM menjadi institusi yang menjadi asas kepada kejayaan yang dikecapinya hari ini.
Beliau percaya pendidikan adalah pelaburan paling bernilai dan berasakan kejayaannya bermula daripada peluang menimba ilmu di universiti tersebut.
Perjalanan kerjayanya bukanlah mudah. Selepas memulakan kerjaya dalam bidang pengurusan hartanah, Azman kehilangan pekerjaan ketika pandemik Covid-19 sebelum bangkit membina nama dalam industri automotif import.
Kini, selain mencatat jualan lebih 550 kenderaan premium bernilai melebihi RM250,000 setiap satu, Azman terus komited memperkasakan bidang pendidikan melalui pelbagai inisiatif CSR.

KOSMO!: Ceritakan mengenai latar belakang saudara?
Azman: Saya berasal dari Kelantan dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hartanah di Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur UiTM Shah Alam bagi sesi 2016-2018.
Selepas menamatkan pengajian, saya menceburi bidang pengurusan hartanah tetapi nasib tidak menyebelahi apabila terpaksa berundur kerana dunia diserang wabak Covid-19 tidak lama kemudian.
Bapa mertua saya, Datuk Ameran Ismail mempelawa saya untuk bekerja dengannya sebagai jurujual kenderaan import di Segamat, Johor. Sejak itulah saya mula mengorak langkah untuk berjaya. Saya mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripada pemain industri utama di negara ini.
Apakah kejayaan yang telah dikecapi oleh saudara?
Saya berjaya menjual 550 kenderaan pada harga lebih RM250,000 setiap satu termasuk Toyota Alphard, Vellfire, Harrier, Mercedes-Benz dan Honda Civic Type R. Lebih menarik apabila kebanyakan pelanggannya datang dari Lembah Klang dan Pantai Timur.
Saya percaya kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras dan modus operandi yang unik iaitu mengekalkan hubungan dengan pelanggan selepas jualan.
Dengan semangat giving back, syarikat percaya bahawa setiap sumbangan, walau sekecil mana sekalipun, mampu menjadi titik permulaan kepada kejayaan seseorang.
Bagi saya, kejayaan sebenar bukan sekadar membina sebuah syarikat yang berjaya, tetapi memastikan kejayaan itu turut membuka ruang dan peluang kepada generasi akan datang.

Mengapa pilih untuk kembali berbakti kepada UiTM?
Saya tidak mahu hubungan baik dengan alumni dan ‘alma mater’ terputus begitu sahaja, jadi selepas lapan tahun bergraduasi, saya memilih untuk memberikan sesuatu kepada kampus yang membentuk diri dan kejayaan saya.
Kali ini bukan sebagai pelajar, sebaliknya sebagai Pengarah Ameran Motor Sdn. Bhd. dengan misi untuk berkongsi rezeki dan membuka lebih banyak peluang kepada generasi pelapis.
Menerusi program CSR, syarikat menyumbang komputer riba kepada tujuh mahasiswa Melayu yang memerlukan bagi membantu mereka mengikuti pembelajaran dalam era digital.
Apa tujuan syarikat berbuat demikian?
Program tersebut mempunyai nilai sentimental yang sukar digambarkan kerana UiTM merupakan institusi yang menjadi asas kepada pembentukan sahsiah, ilmu dan prinsip kepimpinan yang menjadi pegangan saya sehingga hari ini.
Saya sentiasa percaya bahawa pendidikan adalah pelaburan yang paling bernilai. Apa sahaja yang saya capai hari ini bermula daripada peluang menimba ilmu di UiTM. Justeru, menjadi tanggungjawab saya untuk kembali menyumbang kepada universiti yang telah membuka ruang kepada perjalanan hidup dan kerjaya saya.
Ada kata-kata semangat buat mereka yang pernah ‘jatuh’ dalam perniagaan?
Jangan sesekali mengalah kerana kita tidak tahu ujian sekarang mungkin memberi pengajaran untuk kejayaan kita di kemudian hari.
Kena ingat pengalaman, ketekunan dan prinsip integriti merupakan intipati untuk membeli kepercayaan pelanggan.
Saya berharap agar program seperti ini akan melahirkan lebih ramai graduan yang bersedia memasuki dunia industri permotoran tempatan dan import. -KOSMO! ONLINE














