KUALA TERENGGANU – Umat Islam khususnya di bandar raya ini gempar dengan penyebaran sebuah rakaman video menunjukkan beberapa individu melakukan perbuatan mencurigakan iaitu dengan mengusap tiang kayu di sebuah surau lama berhampiran pusara Tokku Paloh di sini.
Tindakan tersebut dipercayai dilakukan oleh individu berkenaan susulan dakwaan yang mengaitkan tiang yang terdapat di surau tersebut pernah menjadi tempat Nabi Khidir bersandar.
Berdasarkan rakaman video berkenaan, kelihatan sekumpulan individu sedang menunaikan solat sunat sementara ada yang mengambil kesempatan dengan mengusap dan memegang sebatang tiang yang terletak di bahagian dinding surau.
Bagaimanapun, hasil tinjuan mendapati video tersebut adalah video lama dan kembali ditularkan di media sosial sejak tiga hari lalu.
Susulan perkembangan itu, rata-rata penduduk terutama mereka yang mendiami kawasan sekitar Kampung Paloh di sini menggesa pihak berkuasa untuk memantau aktiviti mencurigakan itu daripada terus berleluasa.
Menurut penduduk, penyebaran video itu juga dikhuatiri boleh menarik minat kumpulan lain datang ke surau berkenaan sama ada mahu melihat atau memohon ‘keberkatan’ daripada tiang yang didakwa pernah jadi tempat Nabi Khidir bersandar.
Kata mereka, amalan seperti itu sangat bahaya kerana boleh memesongkan akidah umat Islam selain mencemarkan nama Tok Ku Paloh atau nama sebenarnya, Sayid Abdul Rahman Sayid Muhammad al-Idrus yang merupakan ulama terkenal Terengganu.
Seorang penduduk, Sharom Anuar Abd. Manaf, 62, berkata, perbuatan mengusap tiang surau yang didakwa menjadi tempat Nabi Khidir bersandar bukanlah amalan dituntut Islam.
“Saya tidak pasti cerita Nabi Khidir pernah menziarah Tokku Paloh, tetapi sekiranya benarpun, perbuatan mengusap tiang dan bersolat sunat kerana memperingati peristiwa tersebut boleh menimbulkan salah faham.
“Sekiranya Tokku Paloh masih hidup, beliau sendiri tidak gemar perbuatan yang tidak memberi manfaat apa-apa pun ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Aminah Abdullah, 45, berkata, dia sedih melihat video yang tersebar menjelang majlis Haul Tokku Tuan Besar dan Tokku Paloh yang akan dianjurkan tidak lama lagi.
Dia juga percaya, video sekumpulan individu melawat tiang surau terbabit telah lama berlaku.
“Tidak nampak pula apa-apa aktiviti mencurigakan di kawasan tersebut sejak kebelakangan ini.
“Apapun saya harap Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu (JHEAT) segera bertindak memastikan perbuatan ritual sama tidak berulang semula selepas ini,” katanya.
Tok Ku Paloh yang merupakan anak Tokku Tuan Besar merupakan penasihat Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III dan terlibat menggubal undang-undang tubuh negeri Terengganu, Itqan Al Muluk Bi Ta’dil Al Suluk.














