fbpx
Umi kecewa sejak suaminya bertemu semula dengan kawan lama sekolahnya yang kini sudah menjanda, rumah tangga Umi mula porak peranda dan pernah Umi terdengar suaminya menyebut 'sayang' dalam perbualan telefon di malam hari.- Gambar hiasan

K2

‘Kawan sekolah suami minta saya bermadu dengannya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBELUM ini, seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Umi hanya melihat dan membaca berita-berita tentang perkahwinan orang lain yang musnah akibat ‘reunion’ di mana suami atau isteri kembali bertemu dengan sahabat lama.

Dia langsung tidak menyangka bahawa perkara yang sama akan berlaku kepada dirinya.

“Perkahwinan yang saya bina bersama suami tercinta hampir lima tahun akhirnya terlerai angkara ‘reunion’ inilah.

“Suami saya menjalinkan hubungan bersama rakan sekolahnya setelah mereka bertemu dalam satu sesi ‘reunion’ yang diadakan alumni sekolahnya,” katanya yang kini berusia awal 30-an.

Menjelaskan tentang hubungan Umi dengan suaminya, jelas Umi, mereka berdua mengenali antara satu sama lain ketika sama-sama menuntut di sebuah universiti di ibu kota.

Oleh kerana sering berhubungan antara satu sama lain, kedua-duanya jatuh cinta dan akhirnya mengambil keputusan untuk melangsungkan perkahwinan setelah dua tahun menamatkan pengajian.

Rezeki selepas berkahwin, kedua-duanya mendapat pekerjaan yang boleh dikatakan menjamin masa depan.

Malah, perkahwinan mereka itu turut dikurniakan dengan seorang cahaya mata yang menjadi penyeri keluarga.

“Rumah tangga saya diuji sejak tahun keempat perkahwinan kami apabila suami saya menjalinkan hubungan dengan teman lamanya.

“Mereka bertemu dalam satu majlis ‘reunion’ yang diadakan pertama kali dan masing-masing berhubung selepas itu,” jelas Umi.

Setelah majlis ‘reunion’ itu, Umi dapat melihat perubahan dalam diri suaminya itu. Dia sering dengan telefon pintar dan senyum bersendirian.

“Saya ada lihat dia seperti sedang berbalas pesanan dengan seseorang, apabila ditanya dia mengatakan bahawa dia sedang berborak dengan rakan-rakan dalam kumpulan ‘WhatsApp’.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa kerana mengetahui suami saya selama ini jujur dengan saya,” terangnya.

Lama-kelamaan Umi mendapati perubahan suaminya itu begitu ketara.

Suaminya mula pulang lewat ke rumah selepas bekerja dan sering keluar bertemu kawan-kawan pada hujung minggu.

Bukan itu sahaja, ada satu ketika suaminya itu ‘terkantoi’ apabila Umi mendengar suaminya sedang berbual telefon dengan wanita lain di bilik berasingan.

“Pada masa itu telah lewat malam dan tiba-tiba saya tersedar dan mendapati suami tiada di sisi.

“Saya bangun dan terdengar seperti ada orang sedang berbual di bilik sebelah dan saya cuba mendengarnya dan remuk hati saya apabila suami saya menyebut perkataan ‘sayang’ dalam perbualannya.

“Pintu bilik itu tidak dikunci dan saya terus masuk. Suami saya terkejut dan saya cuba untuk mengambil telefon pintarnya, tetapi tidak berdaya kerana dia lebih kuat,” terangnya.

Sejak peristiwa itu mereka mula bergaduh dan akhirnya suaminya mengaku ada menjalinkan hubungan dengan orang lain sekadar suka-suka.

Suaminya meminta maaf atas perbuatannya dan Umi memberinya peluang lagi kerana memikirkan soal anaknya.

Namun, suaminya itu tidak menggunakan peluang yang diberikan Umi dengan sebaiknya.

Malah, suaminya itu kembali berlaku curang di belakangnya.

“Semuanya terbongkar selepas rakan sekolahnya merangkap kekasih gelapnya yang juga seorang janda itu menghubungi saya dan mengaku sendiri akan hubungan mereka.

“Wanita itu meminta kebenaran untuk saya bermadu dengannya kerana dia telah jatuh cinta dengan suami saya, malah dia sendiri mengaku mereka pernah terlanjur bersama dan tidak ingin lagi terjebak dalam dosa.

“Saya amat terkejut ketika itu dan merasakan apa yang suami saya lakukan itu sungguh kejam,” jelas Umi.

Umi tidak boleh menerima keterlanjuran suaminya bersama wanita itu.

Setelah ditanya suaminya mengakui akan hal tersebut dan meminta maaf kepada Umi kerana berlaku curang kepadanya.

Umi akhirnya nekad membuat keputusan untuk meminta dirinya dilepaskan meskipun suaminya tidak mahu berbuat demikian.

Dia mengakui tidak boleh menerima apa yang suaminya itu lakukan dan dia nekad dengan keputusannya itu.

Akhirnya, suaminya akur dan melepaskan Umi serta memilih untuk berkahwin dengan wanita tersebut.

Mereka berdua akhirnya sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN