fbpx

Seniman gesa buat laporan polis, takut artis senasib Faisal Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zed Zaidi berkata, laporan polis wajar dilakukan sekiranya golongan selebriti berasa tidak selamat akibat boikot dilakukan yang secara tidak langsung mencetuskan kebencian melampau.

PETALING JAYA – Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyarankan selebriti tempatan yang berdepan ugutan susulan nama disenaraikan dalam gerakan Blockout 2024 membuat laporan polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, perkara sebegitu wajar dilakukan sekiranya artis terbabit berasa tidak selamat akibat boikot dilakukan pihak tertentu yang secara tidak langsung mencetuskan kebencian melampau.

“Gerakan Blockout di New York, Amerika Syarikat (AS) yang menular di negara ini seharusnya bukan bertunjangkan caci maki, kecaman dan ugutan.

“Apabila nama seseorang artis itu ‘naik’ kerana didakwa tidak peka terhadap Palestin sedangkan dia membantu menerusi cara lain, maka secara tidak langsung boleh mencetuskan risiko kebencian.

“Kita tentu tidak mahu ada kes artis pula disimbah asid seperti berlaku dalam kes pemain bola sepak sebab insiden sebegini boleh terjadi apabila provokasi berterusan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Jamil, 43, senario di artis di AS berbeza dengan selebriti tempatan kerana ramai dalam kalangan mereka adalah pro-Israel serta tanpa berselindung menyokong penguasaan rejim Zionis di Gaza.

“Artis kita semua memberi sokongan padu terhadap Palestin dan mengutuk serangan semula Zionis sejak Oktober tahun lalu sehingga kini Rafah yang menjadi benteng terakhir rakyat Palestin dibedil bertalu-talu.

“Kita jangan terlalu cepat buat kesimpulan, hanya kerana seseorang artis itu tidak tunjuk atau kerap memuat naik hantaran sokongan kepada Palestin di media sosial, kita tuduh mereka tiada empati terhadap saudara seagama.

“Ada sahaja sebelum ini akaun artis digantung bahkan susulan boikot ini, ada selebriti terpaksa tunjuk resit sumbangan selain batalkan kontrak. Takkan setiap artis perlu maklumkan setiap kali beri derma beri sokongan,” ujarnya.

Berharap netizen lebih rasional dalam mengambil tindakan berhubung isu Israel-Palestin, Zed menyeru agar semua pihak fokus terhadap sokongan, bukan menyebarkan unsur negatif dengan berpuak-puak.

Katanya, melihat dari sudut positif sudah ramai selebriti dan pempengaruh media berkongsi hantaran berkaitan kekejaman Israel terutama selepas kempen All Eyes on Rafah mendapat perhatian dunia.

“Apa lagi yang kalian nak lagi artis itu lakukan? Tunjuk sumbangan sudah, batal kontrak sudah, kongsi hantaran pun sudah. Marilah kita sama-sama seru kebaikan, bukan cipta kebencian,” katanya.

Terdahulu, majlis Met Gala 2024 berlangsung pada hari sama Palestin diserang tentera Israel menyebabkan ramai netizen melancarkan gerakan Blockout 2024 dengan memboikot selebriti Hollywood yang membisu tentang penderitaan rakyat Palestin.

Gerakan itu turut dilakukan netizen Malaysia dengan menyenaraikan nama artis dan pempengaruh tempatan yang masih menjadi duta jenama terkenal antarabangsa pro-Israel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI