PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bercadang mengadakan majlis kesyukuran di kawasannya di Johor sebagai penghargaan atas sokongan penduduk setempat sepanjang enam tahun berdepan perbicaraan di mahkamah.
Syed Saddiq atau nama sebenarnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, berkata, dia terhutang budi kepada warga Muar yang menaruh kepercayaan terhadapnya sejak dahulu.
“Saya terhutang budi khususnya kepada warga Muar yang sentiasa bersama saya. Mungkin ada yang terlupa, seminggu atau dua minggu sebelum pilihan raya (dahulu), saya didapati mempunyai kes prima facie.
“Tetapi penduduk Muar tetap menaruh harapan dan memberikan sepenuh kepercayaan. Saya ada juga terfikir nak buat majlis kesyukuran di kawasan saya, Muar.
“Mungkin hujung minggu ini sebab sekarang ada Parlimen, Insya-Allah. Selepas ini (keputusan selesai), saya terus ke Parlimen,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan pembebasannya, hari ini.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, sebaik dibebaskan Mahkamah Rayuan sebelum ini, dia terus memberi tumpuan kepada usaha membela kebajikan penduduk di Parlimen.
Katanya, dia akan terus bekerja demi amanah daripada rakyat setempat serta komited meneruskan tanggungjawab tersebut.
“Saya tak berhenti-henti cuba cari jalan untuk membela nasib mereka serta membantu kebajikan dengan saya bekerja,” ujarnya.
Terdahulu, Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan pendakwaan.
Dalam penghakiman majoriti 2-1, dua hakim yang membarisi panel membabitkan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali serta Datuk Collin Lawrence Sequerah, memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun tahun lalu. – KOSMO! ONLINE















