MELAKA – Semua pihak yang terlibat dengan insiden pergaduhan pemain pada perlawanan Piala Belia 2024 antara Melaka FA dan Sri Pahang FC di Stadium Hang Tuah Ahad lalu telah berdamai.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihak terbabit turut bersetuju untuk menyelesaikan masalah di peringkat dalaman persatuan.
“Satu video tular berdurasi 44 saat telah dikesan di aplikasi X pada Isnin yang memaparkan insiden pergaduhan antara pemain bola sepak di sebuah stadium di Melaka.
“Kejadian berlaku pada 12 Mei sewaktu perlawanan Piala Belia Bawah 18 Tahun antara Sri Pahang FC dan Melaka FA. Ia berpunca daripada perselisihan faham dan rasa tidak puas hati pemain kedua-dua pasukan.
“Polis telah memanggil pihak Persatuan Bola Sepak Melaka serta pengurus pasukan semalam dan kedua-dua pihak telah berdamai,” katanya kepada pemberita. – KOSMO! ONLINE