fbpx
MUSS berjaya menyelesaikan komitmen meneruskan konsert sebelum bergegas ke hospital apabila diberitahu isterinya kembali kritikal malam tadi.

Isteri kembali kritikal, selesai konsert Muss bergegas ke hospital

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Vokalis Barbarik, Muss bergegas ke hospital sebaik sahaja menjayakan Konsert Black On White Cromok-Barbarik apabila keadaan isterinya, Suraya Bahari kembali kritikal.

Perkara tersebut dikongsikan rakan seperjuangannya, JoBranko yang memaklumkan keadaan kesihatan Suraya kembali merosot secara tiba-tiba sebelum persembahan berlangsung.

Menurut JoBranko, pihaknya mengambil keputusan untuk tidak memaklumkan perkara tersebut kepada Muss lebih awal bagi memastikan penyanyi itu dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap komitmen di atas pentas.

“Sebenarnya sebelum persembahan tadi, isteri Muss kembali kritikal. Jadi kami berbincang bagaimana hendak uruskan perkara ini dan akhirnya putuskan untuk tidak beritahu dia dahulu.

“Selepas habis saja persembahan, saya tarik dia ke tepi dan beritahu secara perlahan. Dia memang sangat terkesan dan tengah down,” katanya ketika ditemui selepas Konsert Black On White Cromok-Barbarik di Idea Live Arena, Damansara, malam tadi.

Kata JoBranko, keadaan itu lebih menyentuh hati kerana kesihatan Suraya sebelum ini menunjukkan perkembangan positif sejak dua hari lalu.

“Dua hari ini kesihatan isterinya semakin pulih, alhamdulillah. Sudah meningkat, sudah mula minta makan dan nampak seperti ada perkembangan baik.

“Tetapi secara tiba-tiba tadi semuanya jatuh semula. Oksigen dia menurun dan dia terpaksa menggunakan semula alat bantuan pernafasan,” ujarnya.

Tambah JoBranko, mereka difahamkan Suraya sepatutnya dipindahkan ke wad biasa hari ini berikutan perkembangan positif.

“Sepatutnya hari ini dalam perancangan isterinya hendak dipindahkan ke wad biasa. Semalam pun kata Muss, dia sudah minta hendak makan.

“Bayangkan perasaan Muss, dia sudah mula gembira apabila isterinya semakin okey, tetapi tiba-tiba keadaan jadi begini semula. Sebab itu selepas dimaklumkan, dia terus bergegas ke hospital,” katanya.

Dalam masa sama, JoBranko berkata, Muss menerima berita tersebut dengan tenang meskipun jelas tergamam dan sedih dengan perkembangan mengejutkan itu.

“Tadi saya cakap dengan dia dan beritahu hal sebenar. Dia okey, dia faham situasi, cuma sebagai suami sudah tentu berat untuk dia terima.

“Saya harap semua dapat tolong doakan kesihatan isteri Muss. Semoga Allah permudahkan urusan mereka sekeluarga,” katanya.

Terdahulu, Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 58, berdepan fasa mencabar apabila isterinya bertarung nyawa akibat komplikasi penyakit kencing manis sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong pada 13 Jun lalu.

Walaupun berdepan ujian berat, bekas vokalis kumpulan Wings dan May itu tetap memenuhi komitmen dan tampil bertenaga bersama Barbarik dalam Konsert Black On White yang turut menampilkan Cromok di pentas sama. KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN