MULANYA wanita itu sekadar menonton aktiviti mencari logam menerusi satu video di media sosial, namun tidak semena-mena dia tertarik untuk mencuba aktiviti tersebut.
Lantas Siti Norzehan Mohd. Yatim, 46, mengajak suaminya, Heidizaini Jurami, 46, untuk mencuba aktiviti yang ketika itu jarang dilakukan di negara ini.
Katanya, ketika itu pada tahun 2013, tidak ramai yang tahu mengenai aktiviti mencari logam, malah suaminya juga skeptikal dengan hobi yang dikatakan hanya mencari harta karun.
“Awalnya saya cuba pujuk suami, tetapi dia merasakan bahawa ia hanya membuang masa, malah peralatannya juga menelan kos yang tinggi.
“Namun, selepas tiga tahun memujuk, akhirnya suami saya mahu mencubanya dan kami bermula dengan membeli mesin pengesan terpakai dan pergi ke beberapa pantai seperti Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pantai Remis, Selangor,” katanya ketika ditemu bual K2 di Pantai Morib, Banting, Selangor baru-baru ini.
Tambah Siti Norzehan, sebelum dia cuba memulakan hobi mencari logam, dia banyak melakukan penyelidikan dan belajar cara untuk mengesan logam menerusi perkongsian di YouTube dan laman sosial Facebook.
Pengesan logam ialah alat mengesan kehadiran logam yang berdekatan. Alat tersebut berguna untuk mencari objek logam di permukaan, bawah tanah dan di bawah air.
Ia terdiri daripada kotak kawalan, batang boleh laras dan gegelung pengesan yang direka dalam pelbagai bentuk mengikut pembuatnya.
Apabila gegelung menghampiri logam, kotak kawalan menandakan kehadirannya dengan nada, cahaya atau pergerakan jarum.
Keamatan isyarat biasanya meningkat dengan kedekatan barangan logam. Terdapat pelbagai jenis rekaan pengesan logam yang berbeza mengikut keperluan dan kegunaan.
Dalam aktiviti mencari logam antara peralatan asas yang perlu ada ialah pengesan logam, skop dan penapis pasir atau tanah.

Menyorot sejarah, hobi mengesan logam dipercayai bermula sejak awal abad ke-20 daripada pengaruh filem dan televisyen yang memaparkan adegan pekerjaan seperti arkeologi.
Hal ini menarik minat segelintir pihak yang kemudian memulakan hobi tersebut sebagai hobi mencari logam berharga di kawasan sekitar mereka.
Malah, dengan berkembangnya hobi tersebut, kelab pengesan logam juga mula wujud untuk penggemar belajar daripada orang lain, mempamerkan penemuan daripada pemburuan mereka serta bagi mengetahui lebih lanjut tentang hobi itu.
Terdapat pelbagai kategori dalam hobi mencari logam antaranya, khusus mencari syiling lama, logam berharga seperti emas, perak, perhiasan terbuang, pencari artifak dan sebagainya.
Menurut Heidizaini, di Malaysia, kebanyakan yang melakukan hobi mengesan logam lebih menumpukan kepada mencari logam berharga seperti perhiasan yang terbuang dan tertanam di kawasan-kawasan seperti sungai dan pantai.
Katanya, meskipun begitu, pencarian logam bukanlah dilakukan semata-mata kerana keuntungan tetapi sebagai kepuasan diri serta mengeratkan hubungan keluarga.
“Di Malaysia tidak ramai yang melakukan hobi mencari logam, namun aktiviti tersebut semakin berkembang dan mempunyai komuniti tersendiri di seluruh Malaysia.
“Malah, saya dan isteri turut menjalankan perniagaan menjual alat pengesan logam di bawah jenama Minelab serta merupakan pengedar pertama di Asia,” ujarnya yang telah menjelajah ke seluruh Malaysia serta beberapa negara di Asia Tenggara untuk melakukan hobi mencari logam.
Kongsinya lagi, dalam aktiviti mencari logam, tidak dinafikan bahawa dia akan menjumpai pelbagai jenis barang berharga seperti perhiasan emas, perak dan lain-lain yang mana ia mungkin sudah tercicir sejak sekian lama.
Dalam situasi ini, emas dan logam berharga yang ditemui akan dijual semula selepas satu tempoh apabila usaha untuk mencari pemilik dilakukan dan tidak berjaya.
Setelah barang tersebut dijual, sebahagian hasil yang diperoleh juga akan dizakatkan atau disedekahkan kepada asnaf.
“Perkara ini merupakan rutin yang saya lakukan dan turut dikongsikan kepada mereka yang ingin melakukan aktiviti ini.
“Ia merupakan adab apabila menjumpai barang berharga yang bukan milik kita dan sebagai seorang Islam hukum hakam turut dijaga,” ujarnya yang turut menjalankan pelbagai program dan seminar berkaitan hobi mencari atau mengesan logam.
Jelasnya lagi, selain menjaga perihal barangan berharga, dalam hobi mencari logam juga terdapat etika yang perlu dipatuhi.
Antaranya adalah menggunakan pemakaian yang sesuai untuk lokasi pencarian, pergi secara berkumpulan untuk aktiviti pada waktu malam, tidak menceroboh kawasan persendirian dan kambus semula lubang selepas menemui logam yang dikesan.
Selain Siti Norzehan dan Heidizaini, aktiviti mencari logam turut menarik minat ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat dan umur yang mana ia sesuai dilakukan sebagai aktiviti keluarga.
Menurut pencari logam separuh masa, Aja Rajoo, 38, dia mula berminat dengan hobi mencari logam sejak tiga tahun lalu dan kini turut melakukannya bersama ahli keluarga.
“Saya mula berminat sejak pertama kali melihat aktiviti ini dikongsikan di media sosial dan kemudian menyertai kumpulan pencari logam di WhatsApp iaitu Geng Metal Detector serta Facebook, Malaysia Metal Detector.
“Sebagai orang baharu ketika itu, aktiviti ini tidak terlalu sukar untuk dipelajari, malah pada kali pertama mencubanya saya sudah boleh melakukannya,” kongsi bapa kepada satu cahaya mata itu.
Tambahnya, sambil melakukan hobi tersebut dia juga dapat mengeratkan hubungan dengan keluarga apabila mereka bersama-sama meluangkan masa di pantai sambil beraktiviti mencari logam.
Selain itu, aktiviti tersebut juga sedikit sebanyak membantu dari segi kewangan apabila dia kerap menjumpai barangan kemas yang mana hasilnya setelah dijual boleh mencecah ribuan ringgit.
Dia yang bekerja sebagai nelayan juga mengakui bahawa aktiviti mencari logam menemukan dia dengan kawan-kawan baharu yang mempunyai minat sama dan sering berkongsi ilmu tentang hobi berkenaan.















