ALOR SETAR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa memerhatikan kandungan media sosial pempengaruh bagi memastikan apa yang disampaikan benar, berlandaskan fakta serta tidak mengelirukan.
Kata kenyataan Komunikasi Korporat MCMC, pihaknya sentiasa cakna dengan setiap kandungan media sosial yang dimuat naik oleh pengguna termasuk pempengaruh.
Jelasnya, peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 (Akta 588) diguna pakai MCMC dalam mengawal selia setiap kandungan yang dimuat naik atau penyebaran kandungan mengandungi elemen lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik.
“Bagi tempoh antara 2021 hingga 31 Mac lalu, tiada sebarang aduan berkaitan kandungan palsu melibatkan selebriti dan pempengaruh yang dilaporkan.
“Sekiranya ada aduan yang dikemukakan, aduan itu akan disiasat oleh MCMC sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya,” katanya.
Kosmo! baru-baru melaporkan mengenai ramai pempengaruh media sosial di negara ini membuat kandungan palsu untuk mengejar populariti dan hadiah orang ramai.
Selain itu ramai juga membuat jalan cerita kandungan palsu demi meraih perhatian dan simpati ramai untuk meraih tontonan tertinggi.
MCMC dalam kenyataan itu lagi menyebut, mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta 588, apabila disabitkan dengan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Kata kenyataan itu lagi, kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak daripada berkarya, mengutarakan pendapat, dan berkongsi sebarang maklumat di platform media sosial selagi mana maklumat yang ingin disampaikan tidak menyalahi undang-undang.
Tambah MCMC, bagi tempoh 1 Januari hingga 15 April lalu, sebanyak 9,342 tindakan penurunan kandungan dilaksanakan MCMC kerana tidak mematuhi standard komuniti.
Tambahnya, MCMC dengan kerjasama PDRM juga telah menubuhkan Pasukan Petugas Siasatan bagi memastikan siasatan kes membabitkan penyebaran maklumat palsu dilaksanakan dengan segera dan kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan akhir.














