fbpx
Penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus pada Disember nanti.

Masa terbaik pulihkan imej perkhidmatan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang kenaikan gaji lebih 13 peratus kepada penjawat awam mulai 1 Disember depan mengujakan golongan berkenaan.

Difahamkan sebelum ini, jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus.

Kosmo! terdahulu melaporkan, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Madani akan memastikan kadar tersebut lebih tinggi daripada itu.

Tidak mustahil pada tahun 2024 ini, rekod baharu bakal tercipta, sekali gus mampu membangkitkan semangat para penjawat awam mempersembahkan khidmat terbaik kepada negara dan rakyat.

Susulan berita menggembirakan itu, dilihat sudah tiba masanya ‘mitos’ berkaitan intergriti yang sering terpalit dengan penjawat awam dihapuskan segera.

‘Mitos’ ini tercetus ekoran tindakan segelintir daripadanya yang culas berkhidmat sehingga mencalarkan imej penjawat awam, sekali gus mewujudkan stereotaip tertentu masyarakat umum.

Oleh itu, ‘selayaknya’ mereka yang segelintir ini dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi sebelum membarah bagi memastikan maruah penjawat awam dan negara terus terpelihara.

Ia selaras dengan apa yang ditegaskan oleh Perdana Menteri iaitu, mana-mana penjawat awam yang mempamerkan prestasi tidak baik, pemalas serta lewat ke kerja tidak layak menerima kenaikan gaji berkenaan.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk memberi pengajaran dan memotivasikan mereka yang terbabit supaya terus memajukan diri.

“Kalau rekod pekerjaannya tak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak beri tumpuan yang baik, tidak layak diberi ganjaran seperti dijanjikan kerajaan.

“Ini tanggungjawab kita bersama baik persatuan atau rakan di jabatan untuk pastikan dua, tiga orang yang lembab ini biar dia kekal di jawatan (sedia ada) selama-lamanya,” katanya.

Dalam masa sama, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) turut senada dengan Perdana Menteri yang menyeru para penjawat awam supaya terus bersama kerajaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan ekonomi.

Presidennya, Datuk Dr. Adnan Mat berkata, komitmen golongan berkenaan sudah tentu akan memberikan kesan positif kepada perkembangan ekonomi negara.

“Penjawat awam sebagai pemudah cara kepada rakyat dan sektor ekonomi yang perlu melaksanakan tugas dengan penuh amanah serta tanggungjawab.

“Tingkatkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk memastikan perkhidmatan awam sentiasa relevan dengan keperluan semasa rakyat dan sektor ekonomi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN