fbpx

Dron PGU patahkan penyeludupan ganja di sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Baderulhisham (kiri) menunjukkan guni berisi daun dipercayai ketum pada sidang akhbar di IPK Perlis di Kangar, hari ini.

KANGAR – Polis merampas kira-kira 30 kilogram (kg) mampat ganja dan 1.02 tan daun ketum dengan nilai keseluruhan RM103,200 serta memberkas seorang suspek lelaki dalam dua serbuan berasingan di Padang Besar, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, dalam serbuan pertama pukul 4.30 pagi, sebuah dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) mengesan sebuah pikap mencurigakan di laluan pagar keselamatan di sebelah Thailand.

“Bertindak atas maklumat tersebut, satu Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 telah digerakkan ke Sektor Charlie 15 berhampiran Tiang BKH/PB G 0655.

“Pasukan itu kemudian menjumpai tiga guni berwarna putih di dalamnya berisi 30 ketulan mampat bersalut kertas aluminium berwarna emas disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 30 kg bernilai RM93,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis, di sini hari ini.

Katanya, jumlah keseluruhan dadah dirampas boleh digunakan seramai 150,000 penagih dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Baderulhisham memaklumkan, serbuan kedua dilakukan pada pukul 2.30 petang apabila Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Perlis menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 20 tahun.

Katanya, penahanan dilakukan ketika suspek sedang memasukkan bungkusan guni ke dalam kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran Thailand.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 30 guni berjahit di dalamnya terdapat daun-daun disyaki ketum dan pihak polis merampas bahan seberat 1.02 tan bernilai RM10,200 itu.

“Modus operandi yang digunakan adalah membuat pembungkusan semula di kawasan semak di sekitar Kampung Wang Kelian sebagai transit sebelum dihantar ke negara jiran,” ujarnya.

Tambahnya, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod jenayah mendapati lelaki itu memiliki dua rekod lampau bersabit kes dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI