SHAH ALAM – Kegiatan dua wanita termasuk seorang dalang sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja ke luar negara tumpas selepas kedua-duanya diberkas dalam dua operasi berasingan di Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Kedua-dua suspek berusia 34 dan 24 tahun itu ditahan dalam operasi antara 21 hingga 23 April lalu, dengan rampasan dadah seberat 183.7 kilogram (kg) bernilai kira-kira RM14.7 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati suspek utama warga tempatan itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran sejak tahun lalu.
Katanya, tangkapan awal dibuat di sekitar Mambau, Negeri Sembilan sebelum membawa polis ke sebuah rumah di Bandar Sri Sendayan yang dijadikan stor simpanan dadah.
“Hasil pemeriksaan di rumah itu menemukan 18 guni berisi 289 bungkusan plastik disyaki bunga ganja seberat 153.7 kg.
“Siasatan mendapati suspek tersebut masih bujang dan negatif dadah serta tiada rekod lampau. Dia dipercayai salah seorang dalang pengedaran dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata, seorang lagi suspek wanita warga asing dipercayai menjadi keldai dadah yang menggunakan penerbangan transit di Malaysia sebelum ke sebuah negara di benua Eropah.
Tambahnya, suspek itu ditahan selepas dua bagasi miliknya dikesan mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas di Terminal Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Pemeriksaan lanjut menemukan 60 bungkusan plastik bunga ganja seberat 30 kg.
“Suspek bekerja sebagai pembantu restoran di negara asal dan dipercayai ditawarkan upah lumayan, selain kos perjalanan ke luar negara ditanggung sindiket,” jelasnya.
Kata beliau, rampasan dadah berkualiti tinggi itu menunjukkan kewujudan sindiket terancang yang aktif di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kedua-dua suspek tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain dan dipercayai daripada sindiket berbeza.
“Dalam operasi sama, polis turut menyita sebuah kereta Honda City, motosikal VMoto XDV250 serta wang tunai kira-kira RM51,500.
“Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE














