KUALA LUMPUR – Pemimpin agama di seluruh dunia perlu terus memainkan peranan sebagai suara hati nurani, kewarasan, keamanan dan toleransi ketika dunia berdepan pelbagai konflik serta krisis kemanusiaan yang semakin membimbangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masyarakat dunia tidak boleh menyerahkan sepenuhnya kepada pemimpin politik untuk menentukan nasib manusia sejagat.
Beliau berkata, sebaliknya pemimpin agama perlu tampil mempengaruhi pihak berkepentingan agar mengutamakan nilai moral dan etika dalam setiap keputusan.
“Peranan pemimpin agama kekal lebih relevan berbanding sebelum ini kerana mereka mewakili suara hati nurani, kewarasan, kesabaran dan toleransi yang semakin berkurangan dalam dunia hari ini,” katanya.
Anwar berkata demikian pada sembah ucapan sempena majlis perasmian Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Turut berangkat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurut Anwar, dunia kini menyaksikan kemerosotan nilai kemanusiaan apabila pendekatan pelbagai hala semakin digantikan dengan tindakan unilateral, manakala peperangan dan pembunuhan orang awam termasuk wanita serta kanak-kanak dianggap sebagai sesuatu yang biasa.
Katanya, golongan miskin dan terpinggir pula terus diketepikan ketika masyarakat antarabangsa bergelut dengan pelbagai cabaran global yang kompleks.
“Dunia hari ini berdepan keadaan yang tidak menentu, rumit dan penuh kekaburan yang menguji kebijaksanaan, ketahanan serta hati nurani kita bersama,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.














