SANTIAGO – Pihak berkuasa Chile semalam mengumumkan rampasan lebih 100 tan (100,000 kilogram) dadah yang disembunyikan dalam penghantaran kayu balak menuju ke Eropah sekali gus rampasan dadah terbesar di negara Amerika Selatan itu.
“Terima kasih kepada usaha bersama oleh pejabat pendakwa raya, polis maritim dan kastam. Sejumlah 1,080 tan kayu dicampur pelbagai jenis dadah telah dirampas, menandakan tamparan bersejarah kepada jenayah terancang di Chile,” kata biro kastam dalam satu kenyataan.
Dadah yang ditemukan dalam kayu balak itu kebanyakannya jenis kokain dan ketamin.Nilai anggaran narkotik itu di pasaran gelap Eropah pula sekitar AS$8.3 bilion (RM33.6 bilion), tambah kenyataan sama.
Selepas siasatan selama enam bulan, pihak berkuasa mengenal pasti 45 kontena yang tiba dari Bolivia mengandungi kayu balak bercampur dadah itu.
“Jika kargo haram ini sampai ke destinasi yang dimaksudkan, dadah ini perlu diekstrak menggunakan proses kimia lanjutan di makmal khusus,” kata seorang pegawai kastam.
Jumlah keseluruhan rampasan boleh meningkat apabila kontena mencurigakan tambahan diperiksa, tambahnya. – AFP














