WASHINGTON – Tentera Marin Amerika Syarikat (AS) menyerbu sebuah kapal kargo di Laut Arab kerana disyaki cuba melanggar sekatan Washington ke atas pelabuhan Iran.
“M/V Blue Star III dibebaskan selepas kami menggeledah dan mengesahkan bahawa pelayaran kapal ini tidak melibatkan persinggahan di pelabuhan Iran,” kata Markas Perintah yang bertanggungjawab ke atas tentera Amerika di Asia Barat dalam satu catatan di platform X.
“Tentera Amerika terus beroperasi dan menguatkuasakan sekatan di seluruh Asia Barat. Setakat ini, 39 kapal telah diarah mengubah haluan,” tambahnya.
Hantaran itu disertakan klip video menunjukkan sebuah helikopter berlegar-legar di atas kapal tersebut ketika anggota-anggota Marin turun dengan tali ke atas kontena yang disusun di dek.
Tehran menutup Selat Hormuz selepas AS-Israel menyerang Iran pada 28 Februari lalu.
Washington kemudian mengumumkan sekatan ke atas pelabuhan Iran selepas rundingan damai di Pakistan gagal dan mula menguatkuasakannya pada 13 April lepas.
Setiausaha Perang, Pete Hegseth memberitahu pemberita awal bulan ini bahawa sekatan AS berlangsung selama mana yang diperlukan.
Pegawai tentera tertinggi AS, Jeneral Dan Caine berkata, ia terpakai kepada semua kapal tanpa mengira kewarganegaraan, yang menuju atau berlayar dari pelabuhan Iran. – AFP














