MEMADAM kebakaran pada bangunan tinggi sememangnya suatu yang mencabar bagi pasukan keselamatan untuk sekian lama.
Disebabkan itu, inovasi sistem dron pemadam kebakaran berteknologi tinggi yang dibangunkan di China ini pantas mendapat perhatian masyarakat dunia.
Dron pemadam kebakaran berteknologi tinggi yang dibangunkan oleh Weihang Technology dengan kerjasama Shenyang Jietong iaitu anak syarikat CIMC Group itu diperkenalkan kepada global hujung tahun lalu.
Ia berpotensi menjadikan usaha memadam kebakaran di bangunan tinggi yang padat lebih mudah dan efisien kerana mampu mencapai ketinggian sehingga 100 meter (bersamaan dengan bangunan setinggi 25 hingga 33 tingkat).
Difahamkan sistem dron ini antara terawal di dunia dan dilihat sebagai penyelesaian baharu kepada cabaran besar yang sering dihadapi oleh anggota penyelamat dalam menyelesaikan tugas operasi menyelamat di kawasan padat bangunan.
Dron pemadam api yang dihubungkan secara tethered (diikat) pada trak bomba itu mampu menjadi solusi yang selama ini sulit.
Menurut laman rasmi CIMC, bangunan tinggi telah lama menjadi cabaran utama dalam memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa kerana kekangan peralatan bersesuaian.
Melihat kepada cabaran itu, Weihang Technology yang memiliki pengalaman khusus dalam teknologi ekonomi altitud rendah dan menyelamat kecemasan, bergabung dengan Shenyang Jietong yang pakar di bidang pembuatan peralatan pemadam kebakaran berusaha mengatasi masalah tersebut.

Gabungan tenaga dua organisasi besar di China itu membuahkan hasil menerusi dron pemadam kebakaran baharu yang mampu bertindak balas lebih pantas dalam misi operasi altitud tinggi dan keupayaan pemadam yang berterusan.
“Sistem ini menggabungkan kelebihan teras dron dan trak pemadam kebakaran altitud rendah dengan panjang keseluruhan trak bomba antara 2.5 meter hingga 10 meter.
“Ia boleh bergerak secara fleksibel melalui lorong-lorong bandar yang sempit dan kawasan kediaman selain boleh bertindak segera sebaik saja menerima panggilan kecemasan.
“Trak akan tiba segera di tempat kejadian untuk terus memulakan operasi memadam api,” kata CIMC dalam kenyataan tersebut.
Trak bomba tersebut berfungsi sebagai stesen pangkalan bagi dron pemadam api yang dibawa.
Direka dalam bentuk kompak, trak perlu bersifat fleksibiliti terutama boleh melalui jalan sempit, manakala dron boleh diintegrasikan untuk beroperasi di ketinggian yang bersesuai sehingga mencecah 100meter dalam tempoh masa satu minit.
Kelajuan tindak balas ini juga jauh lebih pantas daripada masa penggunaan trak bomba yang menggunakan menara air tradisional.
Sebelum yakin dapat digunakan, dron berkenaan menjalani beberapa ujian antaranya terbang secara berterusan selama lebih 6 jam bagi setiap misi dan ujian kestabilan.
Dalam ujian tersebut daya tahan dron diuji berdasarkan enam tahap angin kencang bagi memastikan ia kekal stabil dan selamat digunakan.
“Ujian lanjutan diadakan di Shenzhen yang menunjukkan dron dengan berat kira-kira 400 kilogram ini dapat beroperasi seperti dirancang,” katanya lagi.
Sememangnya kebakaran di bangunan tinggi menjadi antara risiko utama dalam kehidupan urban masa kini berikutan struktur bangunan yang kompleks, ketinggian melampau serta api merebak pantas sering menyukarkan pasukan bomba bertindak.
Kecekapan sistem dron turut terserlah melalui keupayaan semburannya yang mencapai jarak lebih 45 meter dengan kadar aliran cecair yang konsisten.
Ini menjadikan kuasa pemadaman setanding dengan trak bomba tradisional berkapasiti tinggi, namun dengan kelebihan masa tindak balas yang jauh lebih pantas.
Dalam situasi kecemasan setiap saat amat berharga dan teknologi ini berpotensi mengurangkan risiko kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa.
Dron ini disokong oleh lapan buah kipas dalam saluran (ducted fans) yang disusun kepada dua barisan (setiap barisan mempunyai empat kipas).Rekaan terbabit memberikan kestabilan yang sangat tinggi untuk menampung tekanan air yang kuat.
Sementara hos air yang panjang disambung ke bahagian tengah dron yang dihubung terus ke bahagian belakang trak.
Keupayaan lapan kipas terbabit mampu membuatkan hos menyembur air atau buih (foam) pada kadar 20 hingga 30 liter sesaat yang juga menyamai kekuatan trak bomba konvensional.
Dron ini telah digunakan secara rasmi di Taman Perindustrian Penerbangan Zigong, Sichuan dan kini sedang dalam proses pengeluaran besar-besaran untuk kegunaan pasukan bomba di China.
Inovasi tersebut menandakan perubahan peranan dron dalam operasi kecemasan yang sebelum ini kerap digunakan untuk pemantauan atau peninjauan. Sebaliknya, ia kini tampil sebagai barisan hadapan dalam pemadaman kebakaran.














