fbpx

KPT tidak sekat kebebasan akademik universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry beramah mesra dengan tetamu pada Rumah Terbuka Riang Ria Raya Kementerian Pendidikan Tinggi, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak sekali-kali menyekat kebebasan akademik setiap universiti di negara ini.

Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, apa yang dipersoalkan ialah kenyataan seorang pensyarah dari Amerika Syarikat iaitu Bruce Gilley yang biadab sehingga menyentuh keselamatan, kedudukan dan imej negara.

“Itu kita kena bezakan. Ini bukan soal dunia akademik atau menyekat kebebasan akademik. Ini adalah soal kenyataan yang dikeluarkan profesor itu yang sangat berbahaya,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan yang dikeluarkan seorang profesor tempatan, Dr Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi bahawa adalah menjadi ‘amalan biasa’ dalam akademia menjemput tokoh kontroversial untuk wacana.

Tajuddin juga dilapor berkata, Universiti Malaya (UM) tidak seharusnya membuat permohonan maaf kerana menjemput Gilley dan mendakwa sepatutnya tiada sekatan dilaksanakan terhadap amalan biasa itu kerana boleh menjejaskan kebebasan akademik.

Terdahulu, tindakan UM menjemput Gilley yang merupakan Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat menerima kecaman ramai selepas ucapan beliau menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin sebagai penyebar kebencian terhadap Yahudi.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada UM berhubung tindakan universiti itu menjemput pensyarah berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan perkara asas yang patut diambil oleh UM atau mana-mana universiti untuk menyemak terlebih dahulu latar belakang setiap pensyarah jemputan.

“Kalau kita nak jemput siapa sahaja, maka universiti berkenaan akan semak latar belakang, apa kepakaran dia dalam bidang apa, sama ada benar-benar merupakan seorang sarjana yang dihormati.

“Saya masih menanti lagi laporan UM, saya telah maklumkan saya nak laporan segera. Saya tidak mahu peristiwa seperti ini berulang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI