FESTIVAL Pantun Antara Asasi (Fantasi) 2026 terus menjadi platform utama dalam mengangkat martabat seni pantun dalam kalangan mahasiswa di negara ini.
Festival itu secara tidak langsung dapat memperkukuh usaha nasional memelihara dan melestarikan warisan budaya Melayu dalam kalangan pelajar.
Berlangsung selama tiga hari, festival anjuran Pusat Asasi Sains Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM itu berjaya menghimpunkan pelajar asasi daripada pelbagai institusi.
Festival berlangsung di UPM itu menyediakan ruang untuk pelajar menampilkan kreativiti sambil memupuk penghargaan terhadap puisi tradisional.
Pengarah Pusat Asasi Sains Pertanian, UPM, Prof. Madya Dr. Marina Mohd. Top @ Mohd. Tah berkata, penganjuran program seumpama itu amat penting dalam memastikan warisan budaya Melayu terus dipelihara oleh generasi muda.
“Program seperti ini membuktikan bahawa pantun kekal relevan sebagai medium pendidikan dan pembinaan sahsiah.
“Pada masa sama, ia dapat menyuburkan kreativiti serta kecintaan terhadap warisan budaya,” katanya.
Festival yang bertemakan Menyemai Benih Warisan, Menuai Hasil Berpanjangan itu menampilkan penyertaan 20 pasukan mewakili 12 universiti serta sebuah kolej matrikulasi.
Wakil juri daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohd. Amran Daud memuji tahap persembahan yang tinggi dalam kalangan peserta, khususnya dari segi penguasaan struktur pantun, bahasa dan penyampaian.
“Festival ini jelas mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan di negara ini dalam memastikan kesinambungan tradisi budaya untuk generasi akan datang.
“Secara keseluruhan, para peserta menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan, dan persaingan sengit hingga menyukarkan pemilihan pemenang,” katanya.
Berkongsi pengalaman, pelajar asasi UPM, Muhammad Irsyad Ikhwan Mohamed Nasir menyifatkan penyertaannya sebagai satu pengalaman bermakna yang menggalakkan pemikiran kritis serta penghargaan terhadap seni budaya Melayu.
“Saya rasa bangga dapat mewakili UPM dan percaya festival seperti ini wajar diteruskan kerana ia mencabar peserta untuk berfikir secara kreatif.
“Pada masa sama, acara seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama peserta daripada pelbagai latar belakang menerusi persaingan yang sihat,” katanya.
Terdahulu, majlis penutup dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UPM, Prof. Ir. Dr. Abdul Rahim Abu Talib.
Turut hadir ialah Pengerusi Majlis Dekan dan Pengarah Asasi (MDPA), Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman dan Pengarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan, Abang Haliman Abang Judai yang mewakili Ketua DBP.
Sementara itu, Universiti Malaya (Pasukan B) muncul sebagai juara, diikuti Universiti Teknologi Mara (Pasukan B) sebagai naib juara dan Universiti Malaysia Sarawak menduduki tempat ketiga.














