PETALING JAYA – Sedar hak, pelakon Puteri Sarah Liyana menegaskan golongan wanita perlu melengkapkan diri dengan ilmu agar tidak mudah dipijak, apatah lagi ketika berdepan ujian kehidupan.
Ujar Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 41, setiap keputusan besar dalam hidupnya dibuat dengan penuh pertimbangan selepas mendapatkan nasihat pakar.
“Perempuan kena ada ilmu. Kena banyak membaca.
“Setiap langkah saya sebelum ini (proses cerai), saya betul-betul belajar dan berbincang dengan peguam.
“Saya harap apa dilakukan mampu membuka mata ramai wanita,” katanya dalam sebuah program audio siar.
Tambah pelakon drama Hijrah Jannah itu, pengalaman hidup dilalui bukan hanya kisah peribadi, malah kini menjadi rujukan termasuk dalam kalangan pelajar universiti.
Paling penting katanya, kesedaran terhadap hak diri sendiri sangat penting kerana kehidupan tidak boleh diserahkan kepada orang lain.
“Ada individu beritahu kisah saya dijadikan tesis di universiti mereka. Mereka lihat langkah saya sebagai contoh pemerkasaan wanita.
“Sebenarnya tiada siapa ajar, saya belajar sendiri. Saya bertanya dan mencari jawapan. Anda semua kena tahu hak sendiri. Ini kehidupan anda,” ujarnya.
Perkongsian tersebut meraih perhatian ramai apabila rata-rata netizen menyokong keberanian dan ketegasan ditunjukkan pelakon itu.
“Betul, wanita kena celik ilmu supaya tak mudah ditindas. Respect Sarah, bukan semua orang kuat macam ini.
“Kisah dia memang beri inspirasi, buka mata ramai wanita,” tulis beberapa netizen.
Untuk rekod, Puteri Sarah mendirikan rumah tangga bersama pengarah Syamsul Yusof pada 8 Mac 2014 sebelum sah bercerai talak satu pada 14 Jun 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 9, dan Sumayyah, 7 tahun. – KOSMO! ONLINE.














