fbpx
Anggota bomba mengeluarkan mayat Mohamad Khairul Jeffry (gambar kecil) dari telaga berhampiran Kampung Gelam Tok Uban, Pasir Mas.

‘Dia kerap termenung sebelum temui ajal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR MAS – Kerap termenung menjadi petanda buat seorang penggali perigi sebelum maut tertimbus tanah ketika kerja-kerja menggali telaga di rumah penduduk berhampiran Masjid Kampung Gelam Tok Uban, di sini pada Isnin lalu.

Isterinya, Nurul Alyia Che Mat, 22, berkata, arwah suaminya, Mohamad Khairul Jeffry Maarof, 23, berkelakuan pelik sejak tiga hari sebelum kejadian malang itu berlaku.

“Apabila saya panggil, dia tidak menyahut dan seolah-olah tidak mendengar panggilan kerana asyik termenung.

“Saya tidak syak apa-apa sehingga dia keluar bekerja sebelum menerima panggilan bahawa suami tertimbus tanah semasa menggali perigi,” katanya ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Kual To’ Uban, di sini kelmarin.

Nurul Alyia memberitahu, suaminya keluar pada pukul 8 pagi kelmarin namun pulang semula 15 minit kemudian untuk mengambil wang bagi membeli rokok dan itu kali terakhir dia bertemu suaminya.

“Saya terus bergegas ke lokasi kejadian yang terletak beberapa kilometer dari rumah dengan menunggang motosikal sebelum melihat anggota bomba bertungkus-lumus menjalankan operasi mengeluarkan suami yang sudah tertimbus,” ujarnya.

Maarof (kiri) dan Nurul Alyia menunjukkan gambar arwah Mohamad Khairul Jeffry ketika ditemui Kosmo! di rumah mereka di Kampung Kual To’ Uban, Pasir Mas kelmarin.

Menurutnya, harapan melihat Mohamad Khairul Jeffry dapat dikeluarkan dalam keadaan bernyawa hanya tinggal harapan apabila lelaki berkenaan dapat dikeluarkan sejam selepas kejadian.

“Saya reda atas pemergian suami yang meninggalkan seorang anak, Fayyad Mikhail berusia 15 bulan selepas kami berkahwin dua tahun lalu.

“Jenazah Mohamad Khairul Jeffry selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubang Chenok, di sini kira-kira pukul 2.30 petang tadi (kelmarin),” ujarnya.

Sementara itu bapa arwah, Maarof Abdullah, 60, berkata, dia menerima kehilangan ketiga selepas isteri dan ibunya meninggal dunia empat bulan lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang penggali perigi maut selepas tertimbus tanah ketika sedang membuka ikatan tali pembetung di dalam telaga yang sudah siap digali di rumah penduduk berhampiran Masjid Kampung Gelam Tok Uban, di sini.

Mohamad Khairul Jeffry ditemui kira-kira pukul 7.15 malam selepas operasi menyelamat menggunakan jengkaut orang awam selepas lebih 1 jam 20 minit tertimbus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN