fbpx

Bawa rokok seludup RM4.1 juta guna lori kontena

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Zaki (tiga dari kiri) menunjukkan rokok seludup yang dirampas di dalam sebuah lori kontena pada sidang media di Balai Polis Peringat, Kota Bharu hari ini. -Foto MUSTAQIM MOHAMED

KOTA BHARU – Polis berjaya membongkarkan taktik sindiket penyeludup yang membawa masuk 27,350 karton rokok bernilai RM4.1 juta secara haram selepas menahan sebuah lori kontena di Jalan Sultan Ismail, Langgar, di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 7.50 pagi itu, pemandu dan kelindan lori yang masing-masing berusia 29 dan 38 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan rokok tersebut.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor telah mengesan sebuah bot memasuki kawasan perairan Tumpat dalam keadaan mencurigakan pada pukul 4 pagi.

Menurutnya, pemerhatian seterusnya mendapati sebuah lori kontena bergerak dari arah Wakaf Bharu, Tumpat menghala Kota Bharu.

“Lori tersebut ditahan di Jalan Sultan Ismail dan pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa sebanyak 27,350 karton rokok pelbagai jenama tanpa cukai kastam.

“Kesemua barang rampasan dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di pekarangan Balai Polis Peringat, di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, polis tidak menolak kemungkinan rokok tersebut akan dijual untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.

Katanya, polis akan mengesan pemilik bot tersebut untuk mendapatkan maklumat mengenai dalang sebenar di sebalik kegiatan tersebut.

“Semakan mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya berjaya merekodkan rampasan bernilai RM1.05 juta menerusi 48 kes penyeludupan.

Katanya, Pasukan Gerakan Am (PGA) pula berjaya merekodkan rampasan berkait kontraban bernilai hampir RM1.7 juta pada tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI