PETALING JAYA – Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir untuk menyamai rekod beraksi tanpa kalah dalam saingan liga terpanjang di dunia selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Melaka FC di Stadium Hang Jebat, sebentar tadi.
Sebagai rekod, JDT yang telah mengungguli saingan Liga Super 12 kali berturut-turut itu kini sudah mengharungi 106 perlawanan liga tanpa kalah dan kedua terpanjang di dunia manakala kelab Romania, Steaua Bucharest sebelum ini merekodkan 104 perlawanan tanpa tewas.
Kini, skuad Harimau Selatan kendalian Xisco Munoz hanya memerlukan tiga lagi perlawanan tanpa tewas untuk memintas rekod kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas yang kekal di tangga teratas dengan 108 perlawanan tanpa kalah dari 1989 hingga 1994.
Pada aksi sebentar tadi, skuad JDT meneruskan rutin kemenangan hasil jaringan pantas pada penghujung babak pertama yang dilakukan oleh Ager Aketxe dan Marcos Guilherme.
Namun, tuan rumah cuba untuk bangkit dan berjaya meraih gol saguhati menerusi penyudah Dino Kalesic pada minit ke-73 dengan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
JDT kini gah meraih 64 mata selepas mengharungi 22 perlawanan manakala Melaka FC kekal ditangga ketiga tercorot liga dengan 17 mata.
Selepas ini, JDT akan mengharungi dua lagi aksi liga menentang Kuala Lumpur City pada Sabtu ini dan mengakhir saingan bertemu Kelantan The Real Warriors pada 10 Mei depan. – KOSMO! ONLINE














