TUMPAT – Taktik licik seorang penyeludup warga Thailand yang berselindung di sebalik pekerjaan penjaja sate ikan dengan menunggang motosikal di negara ini terbongkar selepas lelaki itu dicekup semasa melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Neting di sini semalam.
Lelaki berusia 51 tahun dan berasal dari Pattani itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari ketika membawa dua tong jerikin berisi 20 liter petrol ketika menunggang sebuah motosikal jenis Honda Click dengan nombor pendaftaran Thailand.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek ditahan semasa melalui SJR berkenaan selepas anggota PGA mendapati motosikal tersebut ditunggang dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap motosikal itu membawa kepada penemuan dua buah beg berisi tong jerikin yang berisi 20 liter petrol.
“Selain itu, satu botol lutsinar mengandungi 1.5 liter petrol turut ditemukan bersama suspek. Lelaki itu mengaku mengisi minyak tersebut di stesen minyak di Wakaf Bharu dan beberapa premis lain di daerah ini sebelum diseludup ke Thailand.
“Siasatan lanjut mendapati, suspek memaklumkan dia menerima upah sebanyak RM10 hingga RM15 untuk satu perjalanan membawa petrol seludup ke negara asalnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, lelaki itu turut mengaku melakukan kegiatan penyeludupan petrol menggunakan taktik sama sebanyak dua hingga tiga kali sehari.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk motosikal ditunggang suspek dianggarkan berjumlah RM4,083.
Tambahnya, PGA akan terus menjalankan pemeriksaan di SJR bagi membanteras kegiatan penyeludupan petrol dan diesel ke negara jiran. – KOSMO! ONLINE














